Bantu golongan berpendapatan rendah - Shahrizat

Friday, October 23, 2009

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berharap Bajet 2010 yang akan dibentangkan esok memberi tumpuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bajet tersebut perlu membantu semua jenis golongan dalam kategori pendapatan rendah termasuklah ibu tunggal, warga kurang upaya dan warga emas.

''Saya sudah pun meminta pelbagai bantuan daripada perbendaharaan bagi membantu golongan ini dalam Bajet 2010.

''Jadi saya hanya perlu menunggu pembentangan Bajet esok dengan hati yang berdebar,'' katanya.

Shahrizat ditemui selepas menghadiri majlis minum petang anjuran Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) di sini hari ini.

Hadir sama ialah isteri para perwakilan asing yang bertugas di Kuala Lumpur.

Mengenai Perwakilan, beliau berkata, anggota persatuan tersebut memainkan peranan sebagai model wanita Malaysia di luar negara.

''Biarpun peranan ahli Perwakilan hanya sebagai isteri kepada para diplomat Malaysia di luar negara, mereka adalah penyumbang kepada kepada pembangunan negara dalam cara tersendiri,'' katanya.

Sementara itu, Penaung Perwakilan, Datin Seri Siti Rubiah Abdul Samad yang juga isteri kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau akan mengutarakan beberapa isu berhubung anggota Perwakilan kepada Shahrizat selepas ini.

Beliau berkata, antara isu yang dihadapi Perwakilan ialah sebahagian daripada mereka merupakan wanita profesional namun terpaksa meninggalkan kerjaya apabila suami masing-masing ditugaskan di Kedutaan Malaysia di seluruh dunia.

''Perwakilan berharap Kedutaan Malaysia di luar negara dapat turut menggunakan kemahiran dan pengalaman isteri-isteri diplomat Malaysia di luar negara supaya kemahiran mereka itu tidak disia-siakan,'' jelasnya.

Sebagai contoh, tambah Siti Rubiah, Kementerian Pelancongan dapat menggunakan khidmat dan kemahiran isteri diplomat Malaysia di luar negara ketika menganjurkan program-program tertentu. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya