3,000 rakyat miskin dibimbing - Datuk Seri Noh Omar

Sunday, October 18, 2009


NOH Omar menyampaikan sumbangan kain ihram kepada bakal haji pada Majlis Sambutan Hari Raya serta Pelancaran Projek Industri Asas Tani dan Bumi Hijau di Tanjung Karang, Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR 17 Okt. - Sebanyak 3,000 rakyat miskin dari 30 Parlimen di seluruh negara terpilih untuk dibimbing dengan pelbagai projek keusahawanan pertanian dan industri asas tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia bagi membantu mereka meningkatkan taraf ekonomi dan seterusnya keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Melalui projek itu setiap peserta akan dibimbing sehingga berjaya menjana pendapatan melebihi RM1,000 sebulan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Industri Asas Tani (IAT) dan Bumi Hijau di Desa Kasih Sungai Kajang, Tanjung Karang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mokhtar Ismail dan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Roseley Khalid.

Noh berkata, projek yang akan disertai 12 agensi kementerian termasuk Jabatan Pertanian dan Jabatan Veterinar itu akan dilancarkan di Batang Lupar, Sarawak dalam masa terdekat ini.

"Setiap Parlimen kita akan ambil 100 orang yang terdiri daripada golongan petani, penternak dan nelayan untuk dibimbing dengan pelbagai projek pertanian.

''Kita juga akan beri bantuan yang dapat menolong mereka mengembangkan projek yang diceburi misalnya peralatan, benih, baka haiwan ternakan dan pelbagai lagi," kata beliau.

Mengenai projek IAT di Desa Kasih, Noh memberitahu, ia diusahakan Jabatan Pertanian dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membantu golongan miskin meningkatkan taraf hidup.

Kata beliau, antara projek yang akan dilaksanakan ialah projek ekonomi di mana aktiviti yang dipilih ialah pemprosesan makanan, bumi hijau, kraf tangan serta jahitan, tanaman sayuran dan tanaman kontan.

Ujar beliau, sebagai permulaan, sebanyak 11 peserta dari Desa Kasih Sungai Kajang telah dipilih untuk memulakan projek memproses makanan iaitu kerepek pisang, baulu atau kek dan hasilnya dijangka memberi pulangan yang lumayan.

''Untuk melaksanakan projek ini kerajaan telah memberikan bantuan bernilai lebih RM60,000 untuk membeli peralatan mesin memproses dan bahan mentah untuk kesemua peserta.

''Kita juga merancang membina dua bengkel serta menaik taraf satu lot rumah kedai sedia ada untuk dijadikan bengkel yang menelan belanja RM80,000 bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti pemprosesan makanan secara berkumpulan," jelasnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya