22,083 anak peneroka terlibat

Monday, October 19, 2009


Ahmad Maslan bersalaman dengan sebahagian pelajar yang menghadiri Seminar Kecemerlangan Mahasiswa Felda di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, semalam.

NILAI 18 Okt. – Seramai 22,038 anak peneroka Felda di seluruh negara mengikuti Skim Latihan Kemahiran Generasi Baru kepada anak peneroka bagi memantapkan penguasaan ilmu sejak 2005.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, dalam tempoh itu Felda juga memperuntukkan RM26.5 juta bagi membolehkan mereka meningkatkan tahap akademik serta kemahiran di peringkat sijil dan diploma.

Menurutnya, antara penekanan sektor pekerjaan yang diberikan keutamaan termasuklah kejururawatan, keusahawanan, perakaunan, perhotelan, pelancongan, maritim serta petroleum dan gas.

“Sejak skim ini diperkenalkan pada 2005, seramai 22,038 pelatih yang gagal masuk ke mana-mana institut pengajian tinggi (IPT) dibantu supaya dapat meneruskan pengajian di pusat pengajian yang ditetapkan.

“Sepanjang tahun ini saja, seramai 2,085 pelatih sudah melaporkan diri, manakala Felda sudah membelanjakan RM26.5 juta atau 74.1 peratus daripada peruntukan RM35.8 juta bagi melaksanakan skim itu kepada generasi baru peneroka,” kata Ahmad.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan Mahasiswa Felda di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Felda yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Yusof Noor.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, Felda sedang merancang menambah tiga lagi program menerusi skim itu dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Pada masa sama kita juga turut membantu lebih 2,000 pelajar yang kini sedang meneruskan pengajian di 20 IPTA seluruh negara,” kata Ahmad. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya