Utara: Berkerusi roda ternak ikan keli

Thursday, September 3, 2009

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
bhnews@bharian.com.my

KUALA NERANG: Walaupun lumpuh separuh badan dan terpaksa berkerusi roda, seorang penduduk Kampung Belukar, dekat sini, gigih mengusahakan ternakan ikan kelinya.

Ahmad Osman, 47, bertekad mahu menjayakan projek ternakan ikan keli kerana tidak mahu mengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung kehidupannya.

Ahmad berharap, projek itu yang dimulakannya secara kecil-kecilan dengan modal RM2,000 hasil wang yang dikumpulnya, mampu mengubah hidupnya kepada lebih baik.

"Melalui bantuan kawan, saya memiliki empat kolam yang diperbuat daripada kanvas yang setiap satunya bersaiz 2.5 meter (m) lebar dan 3.5 m panjang dan keseluruhan ikan keli yang diternak kini lebih 8,000 ekor.

"Saya memilih untuk menternak ikan keli kerana ia tahan penyakit dan penjagaannya mudah kerana air tidak perlu ditukar sehingga dua bulan.

"Sistem ternakan dalam kanvas juga lebih mudah kerana saya tidak berdepan dengan ancaman musuh, termasuk memerang dan biawak, berbanding menternak dalam kolam tanah biasa," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ahmad yang juga seorang duda berkata, kini ternakannya itu yang berusia hampir 40 hari sudah ditempah oleh pengusaha pekasam ikan yang turut membimbingnya mengenai selok belok ternakan itu.

Katanya, beliau tidak perlu bimbang untuk memasarkan hasil ternakan itu kerana sudah mempunyai pembeli.

Mengimbas kembali kehidupannya, Ahmad berkata, beliau lumpuh separuh badan selepas terjatuh daripada pokok manggis pada 1989.

Berikutan itu beliau dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan JKM menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM150.

Ahmad berkata, beliau merancang membesarkan projek ternakan ikan kelinya itu pada masa depan kerana yakin ia mempunyai potensi yang cerah.

Beliau bagaimanapun, berharap ada pihak yang prihatin menghulurkan bantuan membelikannya kerusi roda baru kerana peralatan sedia ada yang disumbangkan penduduk kampung itu sudah rosak menyebabkan beliau sukar bergerak.

"Saya juga mengalu-alukan jika ada pihak menghulurkan sumbangan kanvas untuk membolehkan saya membesarkan lagi projek ini," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya