TPM gesa perbanyak lokasi pasar tani

Monday, September 14, 2009

SHAH ALAM 13 Sept. - Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta membenarkan lebih banyak kawasan dijadikan tapak pasar tani untuk kemudahan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini selaras dengan pertambahan jumlah penduduk selain konsep pasar tani yang diterima baik oleh masyarakat setempat.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga pasar tani juga terdiri daripada pengusaha pertanian yang menjual terus hasil ladang mereka kepada pembeli.

Sehubungan itu, katanya, langkah menyediakan lebih banyak tapak pasar tani dapat memberi jaminan barangan yang dijual segar serta bermutu dan harga yang lebih rendah berbanding pasaran biasa.

''Saya sedar waktu jadi Menteri (Pertanian dan Industri Asas Tani) dulu pun ada masalah kerana PBT tak dapat izinkan banyak kawasan digunakan untuk dijadikan tapak pasar tani.

''Tapi kalau sekarang ini dengan jumlah penduduk yang ramai dan konsep pasar tani sudah boleh diterima baik maka kita harap peluang lebih ramai peniaga dapat peluang untuk berniaga itu akan disambut oleh mereka (PBT)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di Tapak Pasar Tani Mega di tempat letak kereta Stadium Melawati di sini pagi ini.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar; Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamad Shariff Abdul Aziz.

Muhyiddin turut menyampaikan rasa puas hatinya dengan urus niaga yang dijalankan di Pasar Tani Mega di sini berdasarkan hasil temu bualnya dengan para peniaga semasa melawat gerai-gerai jualan di situ.

Beliau juga berharap konsep pasar tani diperluaskan dan tidak hanya diadakan secara bermusim bagi membolehkan lebih ramai penternak dan peladang terlibat menjual barangan mereka selain dapat menjamin bekalan barangan pertanian yang berterusan.

Beliau juga berharap agar pasar tani kekal yang sedia ada ditambah dan konsepnya dipermodenkan agar boleh selalu dikunjungi.

Sementara itu, Noh ketika diminta oleh Muhyiddin untuk memberi maklumat mengenai tapak pasar tani kekal berkata, setakat ini terdapat lima pasar tani kekal telah dibuka untuk orang ramai.

Tambah beliau, pihaknya akan memperkenalkan pasar tani 'caravan' atau pasar tani bergerak bagi membolehkan peniaga mudah bergerak ke tempat tumpuan ramai. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya