Tindakan holistik perlu atasi kemiskinan tegar

Thursday, September 10, 2009

KUCHING 9 Sept. - Tindakan segera secara menyeluruh perlu dilaksanakan jika mahu melihat masalah kemiskinan tegar di Sarawak dan Sabah dapat dibasmi serentak dengan Semenanjung menjelang tahun depan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, untuk tujuan itu, kementerian serta agensi kerajaan berkaitan perlu bekerjasama dengan wakil-wakil rakyat di kedua-dua negeri terbabit untuk melakukan tindakan yang holistik membasmi kemiskinan tegar.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong, setakat ini didapati belum ada tindakan yang benar-benar konkrit dilakukan di kedua-dua negeri tersebut dalam usaha menghapuskan masalah berkenaan.

''Dalam konteks Semenanjung, saya yakin usaha menghapuskan miskin tegar mungkin dapat dilaksanakan mengikut perancangan bagaimanapun di Sarawak dan Sabah mungkin mengambil masa kecuali usaha keras digemblengkan selari dengan keadaan di Semenanjung.

''Sebab itu, kerjasama antara pegawai-pegawai kerajaan dengan wakil-wakil rakyat perlu ditingkatkan dalam mengatasi masalah seumpama ini dan jangan mereka (pegawai kerajaan) terlalu mengikut 'buku' menyebabkan banyak perkara tertangguh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 6 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin sasaran untuk mengeluarkan kira-kira 45,000 keluarga daripada kemiskinan tegar di negara ini akan dapat dicapai menjelang tahun depan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan kini melaksanakan pelbagai usaha dan perancangan untuk memastikan matlamat tersebut mencapai sasaran.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, apa yang menimbulkan masalah di kedua-dua negeri terbabit dalam mengatasi kemiskinan tegar adalah disebabkan masalah sistem penyampaian serta peruntukan kewangan.

Katanya, kerajaan tidak begitu cepat menyalurkan peruntukan kewangan menyebabkan pelaksanaan sama ada di peringkat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen tersekat dalam mengatasi masalah kemiskinan tegar itu.

''Jangan menuding jari mengatakan wakil-wakil rakyat tidak turun padang, mereka ini sentiasa turun padang berjumpa rakyat tetapi masalahnya apabila turun padang dengan 'poket kosong', jadi apa yang boleh mereka lakukan.

''Saya faham bahawa tidak semua yang kita minta akan dapat ditunaikan oleh kerajaan tetapi jika ingin melihat masalah tersebut (miskin tegar) dihapuskan dengan segera, maka usaha secara serius dan menyeluruh perlu dilaksanakan secepat mungkin," ujarnya.

Pada masa yang sama, Wan Junaidi menegaskan, Malaysia perlu meningkatkan jumlah masyarakat kelas pertengahan dengan segera bagi melahirkan rakyat yang mampu berdaya saing dalam dunia globalisasi. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya