Tarikan tersendiri Pau Power

Wednesday, September 9, 2009

SHAH ALAM 8 Sept. - Jika anda peminat kuih pau, jangan lupa singgah di bazar Ramadan Seksyen 13 di sini kerana terdapat sebuah gerai yang menyajikan pau istimewa yang dikenali dengan nama Pau Power.

Dengan menggunakan adunan tepung yang dibuat sendiri, pengusahanya, Ismail Zakaria, 47 tahun, berkata, pau jualannya mendapat sambutan menggalakkan sehingga boleh dijual sebanyak 300 biji sehari.

Menurutnya, pau jualannya diadun agak besar daripada pau biasa iaitu sebesar piring, selain mempunyai inti pelbagai perisa seperti sardin, ayam, daging serta kacang merah.

Ia juga dijual dengan harga yang berpatutan iaitu antara RM1.20 hingga RM1.80 sebiji mengikut jenis inti.

"Saya anggap bulan ini adalah bulan rezeki kerana jualan pau saya sangat menggalakkan.

"Sebelum ini, saya hanya menjalankan perniagaan di tepi rumah di Seksyen 18 di sini bagi menambah pendapatan keluarga," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bazar Ramadan Seksyen 13 di sini, semalam.

Ismail berkata, resipi menghasilkan tepung untuk pau itu dihasilkannya sendiri hasil pembelajarannya dari empat orang tukang masak dan orang kampung.

Ujarnya, satu lagi keistimewaan pau itu ialah ia tidak akan melekat di gigi apabila dimakan selain mempunyai inti yang banyak dan rasanya yang sedap.

"Kadang kala ada pembeli yang datang pada hari pertama hanya membeli sebiji sahaja pau tetapi keesokannya datang semula membeli tiga atau empat biji lagi," katanya yang hanya dibantu oleh isterinya dan seorang pekerja. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya