Tapak Kekal Pengeluaran Makanan Tawau dijangka keluar hasil 2010

Friday, September 11, 2009

TAWAU 10 Sept. - Tapak Kekal Pengeluaran Makanan Tawau (TKPM) di Batu 15, Jalan Apas, yang pertama seumpamanya beroperasi di Sabah, akan mula mengeluarkan hasil selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Pegawai Pertanian Kanan Tawau, Julkifli Juhuri berkata, semua infrastruktur asas projek bernilai RM12.6 juta yang dibiayai Kerajaan Persekutuan di kawasan seluas 93.60 hektar yang disediakan oleh kerajaan negeri itu sudah siap sepenuhnya.

"Kita menyediakan sebanyak 58 lot tanaman untuk ditanam dengan enam jenis tanaman kontan seperti betik, jagung, pisang, nanas, tembikai dan sayur-sayuran oleh peserta terpilih.

"Sebuah stesen pengepam air sungai dari Sungai Apas yang dilengkapi dengan sistem paip ke setiap lot tanaman sudah tersedia. Kini hanya menunggu peserta untuk memulakan operasi," katanya kepada Bernama di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melawat projek TKPM Tawau pada Ahad ini. Beliau turut dijadual menghadiri majlis berbuka puasa dengan pemimpin dan masyarakat Tawau di Masjid Al-Kauthar.

Projek TKPM dimulakan di Sabah selepas kerajaan Sabah dan Persekutuan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 16 Ogos 2001 di Kota Kinabalu.

Berikutan MoU itu, selain Tawau, empat lagi tapak TKPM yang dikenal pasti ialah di Sungai Lokan dan Sungai Koyah di Kinabatangan serta Langkawit dan Mandalipau di Papar.

Selain menggalakkan pihak swasta berkecimpung dalam sektor pengeluaran makanan serta menyediakan peluang pekerjaan, ia juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan tanah bagi pengeluaran makanan dan menjamin pengeluaran pertanian secara berterusan.

Julkifli berkata, TKPM Tawau kini dalam proses menyaring semua permohonan bagi mengenal pasti calon benar-benar layak mendapat lot TKPM Tawau dan memajukannya.

Katanya, daripada 665 borang yang dikeluarkan, 339 borang dikembalikan dan daripada jumlah itu hanya 190 permohonan dikenal pasti layak untuk mengikuti proses saringan berikutnya.

"Hanya 58 pemohon sahaja yang akan dipilih daripada 190 permohonan itu.

Mereka akan ditemuduga pada Oktober dan yang berjaya akan memulakan projek masing-masing pada hujung tahun ini," katanya.

Julkifli berkata, setiap peserta berjaya akan dikenakan bayaran sewa sebanyak RM365 bagi setiap 0.4 hektar setahun.

Katanya, jika semua perancangan berjalan lancar, nilai hasil TKPM Tawau dalam setahun ialah RM3,651,922 dan pulangan pelaburan projek akan dapat diperoleh semula dalam tempoh tiga tahun.

Unjuran nilai hasil TKPM Tawau dalam tempoh lima tahun dianggarkan bernilai RM18,259,610, kata Julkifli. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya