SCORE lonjakekonomi rakyat

Wednesday, September 2, 2009

MIRI 1 Sept. - Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) akan menjadi satu lonjakan besar untuk memperbaiki dan meningkatkan ekonomi rakyat dalam mencapai Wawasan 2020.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, tanpa pelaburan di koridor itu, Sarawak pasti sukar untuk bersaing dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

''Kita perlu serius melakukan lonjakan besar ini dan koridor ini memberi jalan istimewa kepada kita," katanya menambah koridor itu juga membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Keperluan Latihan Tenaga Kerja untuk SCORE di Universiti Teknologi Curtin kampus Sarawak di sini baru-baru ini.

Hong Nam memberitahu, Sarawak perlu mengukuhkan sumber ekonominya dan tahap pendapatan rakyat dalam tempoh 10 tahun lagi untuk membolehkannya mencapai status negeri membangun.

Katanya, kerjasama antara industri juga cara terbaik untuk menguatkan tahap pengeluaran dan perkhidmatan sekali gus membentuk industri yang berdaya saing.

Selain itu, rakyat juga perlu mempraktikkan sekali gus menguasai kemahiran dan teknologi moden agar mereka dapat terlibat dalam industri-industri baru yang dibangunkan melalui koridor itu.

''Dengan adanya kemahiran, rakyat layak menikmati pendapatan yang lebih tinggi. Kesannya taraf kehidupan mereka akan menjadi lebih baik," jelasnya.

Tentang program tersebut, Hong Nam yang juga Pengerusi Majlis Universiti Teknologi Curtin kampus Sarawak berharap ia akan membantu kerajaan negeri melahirkan lebih ramai sumber tenaga mahir untuk keperluan koridor.

Kerajaan, katanya, menyumbang sejumlah RM3.7 juta kepada Universiti Teknologi Curtin untuk perlaksanaan program berkenaan melalui pakej Rangsangan Ekonomi. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya