Sarawak, Sabah dapat lebih peruntukan

Friday, September 18, 2009

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my


NAJIB sambil diiringi Abang Johari (kiri) bersalaman dengan orang ramai ketika tiba di Masjid Jamek, Petra Jaya pada majlis berbuka puasa di masjid berkenaan, semalam.

Langkah untuk rapatkan jurang dengan Semenanjung

KUCHING: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Sarawak dan Sabah akan diberi keutamaan dan peruntukan lebih besar oleh Kerajaan Pusat menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dalam usaha kerajaan merapatkan jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat ingin melihat pembangunan prasarana yang lebih meluas di kedua-dua negeri berkenaan yang kini masih jauh ketinggalan, termasuk dari segi bekalan air dan elektrik.

"Sudah tentu Sarawak akan mendapat peruntukan lebih dalam hal ini kerana agendanya perlu diperjuangkan kerajaan. Kita inginkan pembaharuan lebih besar supaya negara kita, termasuk umat Islam dan bukan Islam dapat menikmati pembaharuan yang lebih bermakna," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 5,000 umat Islam di Masjid Jamek, Petra Jaya, di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Openg, menteri kabinet negeri dan pemimpin masyarakat pelbagai kaum.

Najib dan isteri turut menyertai umat Islam menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih di masjid berkenaan.

Mengenai kemiskinan, Najib berkata, ia adalah musuh Islam kerana kemiskinan membawa kekufuran dengan tidak ada mana-mana negara yang memerangi kemiskinan lebih berkesan berbanding Malaysia.

"Kita amat komited untuk terus memerangi kemiskinan menjelang akhir tahun depan dengan 45,000 rakyat miskin tegar dalam senarai e-kasih Jabatan Perdana Menteri, insya-Allah tidak lagi akan tersenarai dalam golongan miskin tegar," katanya.

Beliau berkata, kerajaan bukan saja melihat kemiskinan dari segi pendapatan, malah kemiskinan dari segi teknologi, ilmu, kemahiran dan semangat serta jiwa.

"Kita akan membawa lebih banyak kemajuan kepada Sarawak, insya-Allah. Kita akan pastikan pembahagian (pembangunan) ini dilakukan secara adil dan saksama kerana Islam menuntut kita supaya berlaku adil bukan saja kepada sesama Islam, malah kepada bukan Islam," katanya.

Najib berkata, dalam konteks membina sebuah negara bangsa, kekuatan dalaman adalah amat penting.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari yang mewakili Ketua Menteri Sarawak menyifatkan kehadiran Perdana Menteri dan isteri untuk berbuka puasa bersama rakyat di negeri ini sebagai bukti keprihatinan pucuk kepemimpinan negara terhadap rakyat Sarawak, sekali gus membuktikan beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya