|
|
Beliau berkata, sifat cintakan al-Quran serta membudayakan pembacaan kitab suci itu akan menjadikan kehidupan seseorang itu lebih berkualiti.
‘‘Amalan membaca al-Quran secara berterusan sepanjang bulan Ramadan amat digalakkan kerana tiada bacaan lain yang mampu memberi ketenangan dan kedamaian dalam sanubari manusia.
‘‘Oleh itu, bertadarus ini hendaklah dibudayakan dalam kehidupan seharian walaupun bulan Ramadan telah berakhir,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Wanita Peringkat Negeri di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis yang disertai kira-kira 1,000 kaum wanita dari pelbagai pertubuhan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff.
Menurut Rosmah, ibu bapa seharusnya menggalakkan anak-anak mereka supaya mendekati, membaca, mempelajari dan menghayati al-Quran dengan sebaik mungkin.
‘‘Ini kerana anak-anak yang didekatkan hati mereka dengan kitab suci ini akan mampu menjadikan jiwa mereka lebih tenang dan patuh kepada didikan yang diberikan.
‘‘Dengan itu, usaha membudayakan pembacaan al-Quran pasti akan dapat mengukuhkan hubungan silaturrahim dan meningkatkan perpaduan,” jelasnya.
Usaha membudayakan pembacaan al-Quran itu juga ujarnya, sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Rosmah turut menggalakkan umat Islam sentiasa melakukan amalan ibadat sunat seperti solat hajat, tasbih dan tahajud sepanjang bulan yang mulia ini.
‘‘Saya menyeru kepada semua supaya melakukan solat hajat dan memohon kepada Allah supaya negara kita bebas daripada wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).
‘‘Marilah kita sama-sama berdoa agar wabak ini segera berakhir,” ujarnya sambil berharap tiada lagi kes kematian berlaku akibat virus itu selepas ini. - Utusan
0 comments:
Post a Comment