RM11.3 juta dividen untuk peserta Felcra di Kelantan

Monday, September 14, 2009

KOTA BHARU 13 Sept. - Felcra memperuntukkan pembayaran dividen RM11.3 juta kepada 2,341 peserta agensi itu di Kelantan mulai esok.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, jumlah itu susut berbanding kira-kira RM20 juta yang diberikan tahun lepas kerana jumlah ladang yang ada semakin berkurangan.

Beliau berkata, ini kerana sejumlah 4,000 hektar tanah yang dimajukan oleh peserta Felcra telah dikembalikan kepada kerajaan negeri tahun lalu.

"Bagi jajahan Pasir Mas, sejumlah RM5.9 juta akan diagihkan manakala Machang, Kuala Krai dan Gua Musang (RM3.04 juta); Pasir Puteh (RM1.4 juta) dan Jeli RM895,000.

"Kalau kita bahagikan secara purata, setiap orang boleh dapat lebih RM4,000. Oleh itu saya kira kita patut bersyukur dengan apa yang diberi ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Dividen Felcra Berhad Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Pada majlis tersebut, Felcra turut menyampaikan bayaran zakat perniagaan sebanyak RM219,271 kepada Majlis Agama dan Adat Istiadat Kelantan.

Awang Adek berkata, sejak Felcra ditubuhkan lebih 30 tahun lepas, kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat.

"Inilah cara kepada rakyat untuk mendapat sumber pendapatan dengan memberi peluang kepada agensi kerajaan seperti Felcra untuk membantu.

"Kalau kita membiarkan tanah kita tanpa diusahakan macam mana nak dapat hasil?

"Kalau mahu usahakan pula adakah kita mempunyai teknologi yang mencukupi? Jadi adalah lebih baik ia dikendalikan oleh agensi yang berkeupayaan," tegasnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya