Revolusi pendidikan perlukan perubahan minda: Abdullah

Saturday, September 12, 2009


ABDULLAH memperkatakan sesuatu kepada Tuanku Syed Sirajuddin, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tun Abdul Rahman selepas Upacara Konvokesyen Komemoratif di USM Transkrian, Nibong Tebal, semalam.

NIBONG TEBAL: Tun Abdullah Ahmad Badawi menyarankan kepada kerajaan supaya segera melakukan perubahan minda jika mahu mencapai kejayaan bertaraf dunia khususnya dalam bidang pendidikan.

Bekas Perdana Menteri berkata, sikap positif, ikhlas dan gigih juga menjadi pemangkin kepada usaha untuk mencapai kejayaan bertaraf dunia.

"Ketika saya memimpin negara, sektor pendidikan menjadi agenda utama. Revolusi pendidikan penting bagi memastikan semua sektor tidak terbantut disebabkan tidak mampu membangunkan modal insan yang sepadan dengan tanggungjawab dan cabaran masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Upacara Konvokesyen Komemoratif Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan yang disempurnakan oleh Raja Perlis selaku Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Turut hadir, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Razak, turut hadir.

Abdullah berkata, setiap institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberi peluang menjalankan aktiviti penyelidikan, penerbitan, pembangunan budaya sains dan teknologi yang seimbang dengan pengajian seni dan budaya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya