Resort mampu rancakkan sosioekonomi penduduk

Wednesday, September 2, 2009

BATU PAHAT 1 Sept. - Cadangan pembinaan sebuah resort terapung bernilai RM15 juta di Kampung Sungai Lurus, di sini amat dialu-alukan bagi merancakkan lagi pembangunan sosioekonomi penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ja'affar Hashim berkata, beliau menyokong penuh cadangan itu dan bersedia membantu menjayakannya.

Katanya, projek tersebut jika dilaksanakan dapat membantu menjana dan menambahkan lagi hasil pendapatan penduduk Senggarang khususnya Kampung Sungai Lurus.

''Ia secara tidak langsung menjadikan Batu Pahat destinasi baru pelancongan khususnya kepada 'kaki pancing' memenuhi hasrat mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ja'afar berkata, ia adalah selaras dengan hasratnya sebagai wakil rakyat untuk membangunkan sebuah pusat ekonomi berasaskan produk laut untuk penduduk kampung tersebut.

''Ini termasuk pembinaan pasar basah untuk menjual ikan, sotong, ketam dan udang segar yang ditangkap oleh nelayan pantai kampung berkenaan,'' katanya.

Menurut beliau, pasar tersebut akan menarik ramai masyarakat luar untuk mendapatkan hasil laut yang lebih segar berbanding di pasar awam.

Beliau berkata, turut akan disediakan gerai makan dan gerai menjual alat cendera mata untuk para pelancong.

''Saya juga bercadang untuk menyediakan kemudahan nelayan seperti membina pangkalan pendaratan bot dan rumah sejuk untuk menggiatkan lagi aktiviti penangkapan ikan di kawasan itu," katanya.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 20 nelayan pantai dari Kampung Sungai Lurus dan segala aktiviti mereka boleh dijadikan tarikan untuk para pelancong khususnya mereka dari luar negara.

''Ini kerana terdapat ramai pelancong berminat untuk mengetahui dan mendalami cara nelayan tempatan menangkap ikan di kawasan pantai," katanya.

Ekoran itu, Ja'affar berharap kerajaan negeri dapat meluluskan pembinaan resort oleh anak tempatan tersebut bagi membantu meningkatkan pembangunan ekonomi kawasan Senggarang khususnya penduduk Kampung Sungai Lurus. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya