Puteri UMNO Kuala Krau bantu Orang Asli Paya Perak

Friday, September 18, 2009


NORHASMIMI Abd. ghani (tengah) menyampaikan dua kampit beras dan duit raya kepada saudara baru di Paya Perak, Sendayan, Kuala Krau, semalam.

KUALA KRAU 17 Sept. - Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau melaksanakan program 'Sapa Ramadan, Beras dan Budi' untuk mendekati saudara baru Orang Asli di Paya Perak, Sendayan dekat sini hari ini.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau, Norhasmimi Abd. Ghani berkata, program itu merupakan aktiviti tahunan setiap kali Ramadan.

Katanya, aktiviti itu merupakan pendekatan membantu golongan berkenaan selain menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma.

''Kedatangan Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau ke perkampungan Orang Asli ini membuktikan bahawa penyaluran bantuan dibuat tanpa pilih kasih,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan sumbangan beras kepada 20 saudara baru di Kampung Paya Perak, Sendayan hari ini.

Norhasmimi berkata, pemberian beras dan duit raya kepada keluarga saudara baru itu membolehkan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih meriah dan bermakna.

''Selain saudara baru di Kampung Paya Perak ini, Puteri UMNO juga mengagihkan sumbangan kepada saudara baru di Kampung Penderas, Jenderak, Felda Jengka 21, Felda Jengka 19 dan Rumah Anak-Anak Yatim Bandar Jengka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Puteri UMNO Kuala Krau, Norzalila Ahmad berkata, pihaknya sentiasa aktif membantu golongan tidak bernasib baik supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih sempurna terutama menjelang raya.

Kata beliau, bantuan tersebut merupakan tanggungjawab sosial pergerakan itu supaya golongan tidak berkemampuan dapat sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih meriah. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya