PM lancar Program Sejahtera

Saturday, September 5, 2009

MARAN 4 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek perintis Program Sejahtera yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan antara penduduk desa dan bandar.

Beliau turut melancarkan program Pintar peringkat nasional - sebuah program pengambilan sekolah angkat oleh syarikat milik kerajaan (GLC).

Sebagai permulaan projek Sejahtera itu diwujudkan di Kampung Teluk Melati, Chenor dekat sini melibatkan 20 keluarga.

Menurut Perdana Menteri, program yang melibatkan beberapa peringkat itu dimulakan dengan fasa pertama membabitkan 1,000 keluarga atau 5,000 orang dengan peruntukan RM40 juta di seluruh negara.

‘‘Projek ini bermula di Chenor dan ada beberapa kawasan lain yang telah kita kenal pasti dan bagi fasa pertama ini, ia bakal siap sepenuhnya sebelum berakhir tahun 2010,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek perintis Program Sejahtera dan Program Nasional Pintar di Kampung Teluk Melati, Chenor dekat sini.

Hadir sama pada majlis itu, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar.

Program Sejahtera merupakan projek naungan Sekretariat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi Syarikat Milik Kerajaan (PCG) yang memperkenalkan pendekatan lestari dalam membasmi kemiskinan tegar dan sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk mencapai kemiskinan sifar menjelang 2010.

Najib memberitahu, Program Sejahtera itu akan diperluaskan ke kawasan lain dan ia bergantung pada kemampuan GLC yang terbabit dengan program berkenaan.

‘‘Program ini membuktikan GLC amat prihatin dan tidak lupa tanggungjawab sosial mereka,” katanya.

Menurut beliau, program Pintar pula merupakan lanjutan daripada projek pengambilan sekolah angkat di bawah naungan PCG yang dilancarkan pada Disember 2006.

Katanya, pelancaran program Pintar peringkat nasional kali ini akan menyaksikan pengenalan baru yang lebih bersepadu dalam semua aktiviti di bawahnya.

Sehingga kini, jelas beliau, sejumlah 24 organisasi dengan 22 daripadanya adalah GLC yang telah mengambil 165 sekolah rendah dan menengah seluruh negara sebagai sekolah anak angkat di bawah program Pintar.

‘‘Sejak dilancarkan pada 2006, seramai 66,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada program Pintar ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib menegaskan, kerajaan akan terus mengamalkan dasar ‘campur tangan’ bagi memastikan syarikat-syarikat korporat terutama GLC menjalankan tanggungjawab sosialnya terhadap masyarakat yang memerlukan.

Dasar itu, kata beliau, telah diamalkan oleh pemimpin terdahulu terutama sejak zaman ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein yang mahu memastikan jurang pendapatan penduduk desa dan bandar dirapatkan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya