Pesara polis, tentera dibantu

Tuesday, September 15, 2009


Shahrizat Abdul Jalil menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada Azizan Ariffin yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia pada majlis penyampaian sumbangan bungkusan Hari Raya Aidilfitri daripada Wanita UMNO kepada 6,000 anggota polis dan tentera yang bertugas pada musim perayaan di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Musa Hassan (kanan) dan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim (kiri).

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Semua pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpendapatan kurang RM720 sebulan akan menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan pemantauan JKM melalui laporan-laporan media yang mendapati ada di antara pesara hanya menerima wang pencen serendah RM66.30 sehingga RM400.

Justeru katanya, kementerian telah mempertimbangkan dan bersedia untuk memberikan bantuan tersebut, bagaimanapun bantuan hanya akan diberikan kepada pesara yang memenuhi kriteria ditetapkan oleh jabatan.

''Bentuk bantuan yang akan diperuntukkan adalah mengikut jumlah pendapatan pesara serta tahap kelayakan masing-masing.

"Contohnya, jika pesara itu merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), maka dia akan menerima bantuan di bawah kategori berkenaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bungkusan Hari Raya Aidilfitri daripada Wanita UMNO kepada 6,000 anggota pasukan PDRM dan ATM yang bertugas pada musim perayaan tidak lama lagi di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menerima sumbangan bagi pihak PDRM dan Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin pula mewakili ATM.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, JKM akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Unit Kebajikan PDRM dan ATM untuk mendapatkan data lengkap mengenai pesara-pesara yang layak.

Selain itu, beliau menambah, Persatuan Bekas Pesara PDRM dan ATM juga diminta untuk tampil ke JKM bagi memberikan maklumat mengenai pesara-pesara yang tergolong dalam berpendapatan rendah.

"Dengan cara ini, semua pesara termasuk pesara-pesara yang telah lama meninggalkan kerjaya masing-masing turut diberikan bantuan.

"Bagaimanapun, bagi pesara yang tidak mempunyai pendapatan atau berpendapatan rendah tetapi disara oleh anak-anak, ia tidak diberikan keutamaan,'' jelas beliau .

Sementara itu, Musa ketika ditemui memberitahu, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada JKM kerana prihatin terhadap kebajikan bekas anggotanya.

Menurut beliau, pihaknya di bawah unit kebajikan bekas anggota polis sedia bekerjasama dengan JKM dalam mendapatkan data pesara yang lengkap.

Bagi Azizan pula, selain ucapan terima kasih kepada JKM, beliau juga menghargai jasa kementerian yang sentiasa memandang permasalahan rakyatnya termasuk bekas-bekas anggota tentera.

"Setakat ini di ATM, kita mempunyai unit khas veteran. Unit itu yang menjaga kebajikan pesara, tetapi sekiranya JKM bersedia untuk membantu ATM turut berbesar hati,'' ujar beliau. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya