Peruntukan khas baiki rumah peserta RISDA

Wednesday, September 9, 2009

BATU PAHAT 8 Sept. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menyediakan peruntukan khas bagi membaiki rumah para peserta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang usang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, RISDA telah diminta mengenal pasti rumah peserta yang perlu dibaiki bagi memastikan golongan itu dapat menjalani kehidupan lebih selesa selaras dengan hasrat kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Jumlahnya akan ditentukan selepas RISDA mengenal pasti bilangan rumah yang bakal dibaiki di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) Pekebun Kecil Negeri Johor berjumlah RM57.1 juta di Masjid Sultan Ismail di sini semalam.

Pada majlis itu, Mohd. Shafie turut menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 45 anak yatim serta berbuka puasa bersama 500 penerima dividen.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Abdul Aziz Kaprawi; Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Aris Samsuddin dan ADUN Senggarang, Ja'affar Hashim.

Menurut Mohd. Shafie, pihaknya akan memperluaskan program pembasmian kemiskinan tegar luar bandar menerusi pembangunan prasarana yang lebih tersusun seperti yang dilaksanakan di Gahai, Pahang.

"Selain membina 80 buah rumah, kita juga membina jalan dan membekalkan kemudahan bekalan elektrik dan air membabitkan kos RM15 juta," katanya.

Selain itu, katanya, para peserta pula dilibatkan dalam penanaman getah dan nanas sebagai sumber pendapatan agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau memberitahu, bagi tempoh terdekat ini projek serupa akan dilaksanakan di Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Kos bagi melaksanakan projek itu di Sabah dan Sarawak lebih tinggi ekoran keadaan kawasannya yang terletak lebih jauh dari bandar," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya