Perumahan rakyat miskin diutamakan

Thursday, September 10, 2009

KUALA TERENGGANU 9 Sept. - Kerajaan negeri akan memberi tumpuan membina projek perumahan rakyat termiskin di negeri ini dan membaik pulih rumah sedia ada yang semuanya membabitkan kos berjumlah RM56.5 juta.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri selain Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), RISDA dan beberapa agensi lain.

Beliau memberitahu, di bawah kerajaan negeri, sebanyak 320 buah rumah baru akan dibina manakala 288 buah rumah dibaik pulih yang kosnya berjumlah RM29.7 juta.

Bagi pelaksanaan di bawah Ketengah pula, 159 buah rumah baru dibina dan 147 buah rumah dibaik pulih manakala kosnya adalah RM6.8 juta.

"Untuk RISDA, sebanyak 290 buah rumah baru dibina manakala 550 rumah dibaik pulih yang membabitkan kos RM19.4 juta, dan projek seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan memperbesarkan lagi kawasan industri besi waja di Teluk Kalong, Kemaman termasuk memindahkan kilang Perwaja dari Gurun ke Teluk Kalong.

Usaha itu, jelasnya, perlu dilakukan memandangkan operasi kilang Perwaja di Gurun, Kedah menelan kos RM40 juta setahun.

"Kos pengangkutan operasi kilang Perwaja di Gurun adalah RM40 juta setahun, jadi ia perlu dipindahkan ke Teluk Kalong (Kemaman) selain boleh beri peluang pekerjaan kepada 500 orang," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya