Perubahan minda penting

Thursday, September 10, 2009


Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang juga Canselor USM bersama Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kiri) dan Abdullah Ahmad Badawi di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

NIBONG TEBAL, 9 Sept - Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata perubahan minda selain sikap yang positif, ikhlas dan gigih menjadi aspek penting yang sangat dituntut dalam usaha mencapai kejayaan bertaraf dunia khususnya dalam bidang pendidikan.

"Revolusi pendidikan penting demi memastikan aspirasi untuk menerapkan pencapaian baru kesemua sektor tidak terbantut oleh ketidakmampuan dalam membangunkan modal insan yang sepadan dengan tanggungjawab dan cabaran masa depan," katanya pada Konvokesyen Komemoratif Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampus Kejuruteraan USM di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Kehormat Pendidikan oleh Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Abdullah berkata setiap institusi pengajian tinggi (IPT) juga perlu diberi peluang menjalankan aktiviti penyelidikan, penerbitan serta pembangunan budaya sains dan teknologi yang seimbang dengan pengajian seni dan budaya.

"Penuntut juga perlu menyuburkan ilmu mantik dan falsafah serta keupayaan mahasiswa dan ahli akademik dalam berinteraksi secara terbuka dan dalam lingkungan yang sihat," katanya.

Beliau berkata, cabaran dalam pengajian tinggi juga menuntut perubahan secara dinamik serta beberapa langkah penting perlu diambil bagi menjayakan revolusi pendidikan.

Pertama, katanya, ialah penerapan nilai-nilai luhur menerusi pendidikan serta mempunyai budaya pencapaian tinggi, berintegriti dan mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi.

Aspek kedua terpenting, kata Abdullah, ialah setiap IPT harus berfungsi sebagai pusat pembangunan jiwa dan minda bagi pembinaan asas keamanan dan kemakmuran.

"Generasi muda mesti menjadi insan yang boleh berfikir dan bertimbang rasa supaya boleh tinggal secara harmoni dengan orang yang berbeza kaum dan agama, selain mempunyai keupayaan untuk memajukan diri sendiri," katanya.

Abdullah berkata setiap IPT perlu mengukuhkan serta memajukan perpaduan serta integrasi dalam pendidikan dan membina keupayaan berasaskan kelebihan yang negara miliki. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya