Perak buka pusat jagaan kanak-kanak percuma

Thursday, September 3, 2009

Oleh Shamsul Kamal Amarudin
bhnews@bharian.com.my

Program bantu kakitangan awam bermula selepas Aidilfitri

IPOH: Perak bakal menjadi negeri pertama menyediakan pusat jagaan kanak-kanak secara percuma untuk semua kakitangan awam yang berkhidmat di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, sebagai permulaan satu kawasan khas akan disediakan di tingkat bawah Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini untuk program berkenaan yang dijangka mula beroperasi selepas Aidilfitri ini.

"Pusat jagaan kanak-kanak itu yang menempatkan kanak-kanak seawal bayi sehingga berusia 6 tahun akan beroperasi dengan kerjasama Permata Negara dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini, semalam.

Zambry berkata, projek berkenaan kemudian akan dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh negeri dengan permulaan diadakan di setiap pejabat daerah, sebagai usaha menjaga kebajikan kakitangan awam selain menghargai sumbangan besar mereka dalam pembangunan serta pentadbiran kerajaan negeri.

Pada masa sama, katanya, kewujudan pusat itu secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kewangan kakitangan awam yang terpaksa menghantar anak mereka untuk dijaga pengasuh persendirian atau pusat jagaan kanak-kanak swasta.

"Ini adalah langkah penting yang dimulakan kerajaan Perak untuk kebajikan dan produktiviti kakitangan awam, justeru saya berharap langkah ini dapat dilaksanakan di peringkat Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan jawatankuasa pemandu yang diketuai tokoh akademik Islam terkemuka yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Tan Sri Prof Dr Kamal Hassan, bagi menaik taraf taraf Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) kepada kolej universiti.

Beliau berkata, jawatankuasa itu diberi tanggungjawab menyediakan kertas dasar serta membuat penilaian semula kedudukan Kisdar.

Katanya, jawatankuasa itu bebas untuk melihat aspek penting yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat berkenaan.

Beliau berkata, anggota lain jawatankuasa itu terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Zahid Noordin; Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Zahir Khalid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim serta Rektor Kisdar, Prof Datuk Dr Mohammad Yusoff Hussain.

"Kerajaan negeri memilih Kamal sebagai pengerusi disebabkan pengalaman beliau yang sangat luas serta dianggap sebagai insan bertanggungjawab dalam mewujudkan UIA," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya