Peniaga bazar lega rezeki bertambah

Friday, September 4, 2009

MELAKA 3 Sept. - Kemasyhuran Bazar Ramadan Taman Chempaka dekat sini sudah cukup menjanjikan pulangan lumayan kepada para peniaga kecil pada setiap kali bulan Ramadan.

Bagi peniaga yang berpeluang berniaga di sini pastinya mereka mampu mengukir senyum kerana limpahan rezeki sepanjang bulan Ramadan dapat meringankan beban yang ditanggung.

Pendapatan yang diperoleh daripada hasil menjual juadah dan pelbagai jenis barang sudah cukup melegakan mereka.

Seorang peniaga Nor Leilawaty Ibarahim, 31, berkata, sejak 12 tahun berniaga di sini pendapatannya sering bertambah kerana kehadiran ramai pengunjung di bazar itu.

''Saya tidak pernah berniaga di tempat lain bagi menjalankan perniagaan jualan kuih-muih kerana bagi saya bazar di Taman Chempaka cukup strategik kedudukannya kerana berhampiran bandar.

''Pengunjung yang datang juga tidak putus-putus dan ini memberi semangat kepada kami para peniaga di sini untuk terus menjalankan perniagaan di sini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut anak jati Melaka ini, dia memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM170 setiap hari dan dia berasa gembira serta bersyukur dengan keuntungan yang diperolehnya.

Bagi seorang lagi peniaga beraneka jenis air, Khairul Azman Alias, 33, lokasi bazar Taman Chempaka yang strategik ini membantu para peniaga memperoleh keuntungan dengan cara yang halal.

''Kami berniaga di sini sudah begitu lama dan keuntungan bersih yang diperoleh cukup bagi menampung balik modal yang dikeluarkan.

''Saya sudah tiga tahun berniaga di sini dan belum pernah lagi mengalami kerugian besar melainkan hujan lebat melanda," katanya.

Menurut Khairul lagi, kebersihan bazar ini serta keluasannya sebagai tapak bazar Ramadan yang terbesar di Melaka menjadikan bazar ini sebagai pilihan utama pengunjung.

Bagi penjual popiah basah, Junaidah Mohd Yunos, 46, berkata, bazar Ramadan itu wajar diluaskan tapaknya bagi memudahkan para pengunjung tidak bersesak-sesak.

''Sejak enam tahun berniaga di sini, pengunjung sentiasa bertambah dari tahun ke tahun dan adalah wajar bagi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memikirkan cara untuk menambah keluasan bazar," katanya lagi.

Beliau berkata, lokasi yang strategik di laluan utama masuk ke bandar itu menjadi kunci utama mengapa bazar Taman Chempaka menjadi tumpuan orang ramai dari jauh dan dekat. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya