Peniaga bakal dapat gerai moden

Thursday, September 10, 2009


ABDUL Wahab Shamsuddin (kiri) bersama Kamaruddin Idris (tengah) melihat operasi merobohkan tapak asal deretan kedai.

PORT DICKSON 9 Sept. - Khabar gembira buat peniaga di gerai Fasa 1 Teluk Kemang di sini apabila mereka akan menikmati lokasi baru yang lebih moden dan tersusun.

Ini adalah usaha yang dilakukan oleh kerajaan melalui Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk melihat lokasi tumpuan pelancongan itu terus dipertingkatkan infrastrukturnya, selain memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.

Yang Dipertua MPPD, Abdul Wahab Shamsuddin berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi memindahkan peniaga di gerai Fasa 1 berhampiran persisiran pantai Teluk Kemang ini bagi mendiami gerai yang lebih eksklusif yang akan dibina pada anggaran kos RM3.6 juta termasuk infrastruktur.

''Kita akan memohon peruntukan daripada kerajaan untuk melaksanakan projek yang dianggarkan bernilai RM3.6 juta dengan kadar segera.

Kata Abd. Wahab, kos pembinaan gerai berkenaan sahaja bernilai RM1.6 juta tetapi lebihan RM2 juta lagi bagi tujuan infrastruktur persekitaran kawasan gerai, termasuk menaikkan aras tanah, bekalan air, elektrik dan laluan susur pejalan kaki yang lebih kondusif.

Ketika ini terdapat 13 peniaga yang aktif di gerai Fasa 1 ini dan mereka telah pun dipindahkan sementara dan akan menjadi kumpulan pertama bersama baki 23 peniaga yang kurang aktif yang akan ditempatkan ke lokasi gerai moden sebaik ia siap kelak.

''Kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penjaja Setempat Teluk Kemang dan mereka bersetuju untuk berpindah ke gerai moden ini. Malahan mereka mencadangkan supaya ia dibina sebanyak 36 unit gerai yang pada asalnya ialah 42 gerai.

''Gerai yang kita bina ini berkonsepkan kluster (berkelompok) dan membelakangkan antara satu sama lain, di mana bahagian hadapan dibina 18 gerai dan belakangnya 18 gerai lagi. Setiap empat gerai akan dibina lorong siap dengan lampu moden untuk memudahkan pengunjung datang ke kedua-dua lokasi ini pada satu masa," kata beliau.

Antara gerai yang bakal beroperasi di sini ialah 16 kedai menjual cenderamata dan selebihnya kedai makan.

Mengenai gerai Fasa 2 yang kini beroperasi berhampiran Dataran Seri Kemang tidak akan dipindahkan sebaliknya dikekal untuk terus berniaga di situ sehingga kajian lain dibuat.

''Apabila gerai moden ini siap kelak ia akan menjadi salah satu tarikan kepada pelancong, termasuk ketika ini sedang dibina zon laluan kesihatan yang akan meningkatkan jumlah pengunjung.

''Di kawasan ini sahaja seramai 10,000 pengunjung datang dalam sehari pada musim cuti persekolahan dan 5,000 hingga ke 6,000 pengunjung datang dalam sehari pada hujung minggu," kata beliau.

Dalam pada itu, menurut seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penjaja Teluk Kemang, Kamaruddin Idris, penyediaan lot gerai baru itu disambut baik oleh peniaga dan penjaja di sini.

''Kami tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap pemecahan kedai asal kami malah langkah memindah serta membina gerai baru itu merupakan langkah baik kerajaan dalam mempertingkatkan taraf perniagaan penjaja di sini.

''Lagipun kami semua telah bersetuju dengan cadangan itu menerusi perbincangan yang telah dijalankan antara MPPD," ujar beliau.

Tambah Kamaruddin, pewujudan gerai-gerai baru itu diyakini dapat memberi nafas baru terhadap perniagaan peniaga di situ selain menaikkan imej pantai peranginan ini.

''Apabila projek ini siap nanti, saya rasa lebih ramai pengunjung akan datang ke sini dan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi hasil pendapatan peniaga," jelas beliau.

Kawasan di Teluk Kemang ini merupakan sebahagian pembangunan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya