NS bina rumah 1,500 unit PPR

Tuesday, September 8, 2009


MOHAMAD Hasan menyampaikan duit raya kepada sebahagian fakir miskin daerah Jempol pada majlis sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Besar, Pejabat Daerah Jempol, semalam.

JEMPOL 7 Sept. - Kerajaan negeri akan memperluaskan pembinaan rumah untuk rakyat bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibangunkan di Bandar Enstek, Nilai tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan untuk membina 1,500 unit rumah lagi dalam masa terdekat di kawasan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri mengenal pasti tanah seluas 20.23 hektar bagi tujuan itu.

''Kita mahu memastikan rakyat terus menikmati kehidupan yang lebih selesa dan kita hendak melenyapkan kemiskinan tegar pada tahun 2010.

''Pada masa yang sama, faktor kemiskinan bandar juga hendak kita perhatikan. Kita akan terus membina rumah tiga bilik dan dua bilik air untuk keselesaan mereka," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Besar, Pejabat Daerah Jempol di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Shamshulkahar Mohd. Deli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri.

''Kita telah pun membina 550 unit rumah PPR kepada rakyat miskin bandar di Paroi dan 500 unit lagi di Senawang. Kesemua ini untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau juga menjelaskan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah pun menghantar sekumpulan pelajar ke Mesir untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan beberapa bulan yang lalu.

Mohamad yang juga Pengerusi MAINS memberitahu, ketika ini pelajar terbabit sedang mengikuti pengajian Bahasa Arab di Institut Bahasa Nil, Mesir bagi memantapkan pemahaman mereka dalam bahasa berkenaan.

Beliau juga memberitahu, kerajaan juga telah menaik taraf hostel Rumah Anak Negeri Sembilan di Kaherah, Mesir untuk menjadikan ia lebih selesa dan mempunyai pelbagai kemudahan yang moden.

''Kita telah menyediakan lima pensyarah dari Mesir yang datang mengadakan kelas bimbingan di rumah itu untuk memastikan pembelajaran anak-anak kita beroleh keputusan yang cemerlang," kata beliau.

Pada majlis yang berlangsung hari ini, seramai 178 fakir miskin dalam DUN Serting menerima sumbangan daripada Mohamad melalui MAINS dengan kerjasama Pejabat Daerah Jempol dan pejabat Menteri Besar.

Turut menerima bantuan tahunan itu ialah 42 masjid daerah Jempol bagi mereka melaksanakan aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya