Najib yakin hapus miskin tegar tahun depan

Monday, September 7, 2009

PEKAN 6 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak yakin sasaran untuk mengeluarkan kira-kira 45,000 keluarga daripada kemiskinan tegar di negara ini akan dapat dicapai menjelang tahun depan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai usaha dan perancangan untuk memastikan matlamat tersebut mencapai sasaran.

''Dalam prgram e-Kasih, kita ada 45,000 keluarga miskin tegar yang kita telah beri komitmen untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan menjelang 2010," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada beberapa penduduk miskin di Kampung Padang Jawa, Kampung Sri Damai dan Kampung Bentan dekat sini hari ini.

Najib juga menyampaikan bantuan kepada 24 keluarga mangsa ribut di Kampung Halimi dekat sini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, empat kampung iaitu Kampung Panchor, Kampung Pulau Enjin, Kampung Pahang Tua, Kampung Pulau Jawa dan Kampung Pekan Lama dekat sini dilanda ribut yang mengakibat kerugian kira-kira RM44,000.

Menurut Najib, meskipun pelbagai usaha pembasmian kemskinan dijalankan, pihaknya bimbang akan wujud keluarga miskin baru menjelang tahun depan.

''Walaupun setakat ini ada 45,000 keluarga miskin tegar tetapi kita bimbang akan timbul yang baru dan kita sentiasa mengambil kira perkara ini dari semasa ke semasa.

''Tanggungjawab kita untuk membantu golongan miskin tetap menjadi teras kerajaan," jelasnya.

Menurut beliau, antara bentuk-bentuk bantuan yang disalurkan ialah menerusi elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau yayasan-yayasan tertentu.

''Ada juga bantuan berupa membaik pulih rumah mereka yang terlalu usang iaitu melalui sumbangan yayasan tertentu dan ada juga bantuan dari segi makanan dan kewangan," jelasnya.

Misalnya, kata Najib, sebagai Ahli Parlimen Pekan, adalah menjadi tanggungjawab bagi dirinya untuk turun padang menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik di kawasannya.

''Amalan ini amat berkesan sekali kerana saya dapat melihat sendiri keadaan dan menemui penghuni rumah berkenaan yang memerlukan bantuan daripada kerajaan atau Yayasan Rahah," tambahnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya