MUIP yakin kutipan zakat RM60 juta

Friday, September 18, 2009

MARAN 17 Sept. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yakin mampu mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM60 juta pada tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, sasaran itu semakin menjadi kenyataan apabila kutipan zakat sehingga bulan lalu mencecah RM40 juta.

Menurut beliau, beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negeri ini turut menyatakan persetujuan membayar zakat perniagaan yang berjumlah RM13 juta tidak lama lagi selain kecenderungan individu dan ahli perniagaan menunaikan rukun Islam keempat itu.

''Pada tahun lalu, MUIP mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM57 juta daripada individu dan syarikat perniagaan di negeri ini.

''Peningkatan kutipan zakat yang diperoleh adalah hasil strategi MUIP dalam menyedarkan masyarakat untuk membayar zakat sebagaimana dituntut Islam,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan bantuan Ihya Ramadan kepada fakir miskin, anak yatim dan mualaf di Masjid Jamek Chenor dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, setiap fakir miskin, anak yatim dan saudara baru mendapat duit raya antara RM300 hingga RM500 seorang.

Wan Abdul Wahid berkata, langkah mewujudkan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) di setiap daerah turut membantu memudahkan individu dan peniaga membayar zakat.

Beliau berkata, penubuhan Jabatan Kutipan Zakat oleh MUIP juga memberi impak menggalakkan apabila jumlah kutipan zakat bertambah secara mendadak.

Dalam pada itu, tambah beliau, MUIP tidak bercadang untuk mewajibkan individu atau syarikat korporat membayar zakat di negeri ini walaupun Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang boleh dikuatkuasakan.

Wan Abdul Wahid menjelaskan, dengan kadar kutipan zakat yang tinggi, MUIP mampu melaksanakan program pembangunan dan kebajikan umat Islam di negeri ini dengan lebih rancak.

''Sehubungan itu, orang ramai yang layak dan syarikat korporat serta swasta tidak harus mengabaikan tanggungjawab menjelaskan zakat pendapatan dan perniagaan kerana natijahnya untuk perkembangan umat Islam juga," katanya.

Beliau berkata, individu juga boleh membuat bayaran zakat melalui skim potongan gaji. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya