Membantu sambil menanam sifat menabung : Dapatkan akaun ASB percuma

Friday, September 4, 2009


MOHD. Ali Rustam menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin di kawasan Parlimen Masjid Tanah pada program berbuka puasa di Masjid Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka, kelmarin.

ALOR GAJAH 3 Sept. - Rakyat termiskin di negeri ini diminta mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mereka membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diberikan oleh kerajaan negeri secara percuma.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri mengesan kira-kira 700 orang rakyat termiskin yang masih belum membuka akaun ASB yang diperuntukan kepada mereka.

Menurut beliau, seramai 1,115 orang rakyat miskin di negeri ini layak menikmati kemudahan tersebut tetapi setakat ini hanya 400 orang sahaja yang sudah berbuat demikian.

Sehubungan itu beliau berkata, JKM negeri telah diarahkan untuk mengesan baki 700 golongan tersebut yang masih belum memiliki akaun ASB.

''Pemberian ASB adalah secara percuma kepada rakyat termiskin di negeri ini tetapi adalah satu yang merugikan sekiranya mereka tidak bijak menggunakan kemudahan yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis penyampaian sumbangan Ramadan dan berbuka puasa bersama kira-kira 420 golongan kurang bernasib baik bagi kawasan daerah Masjid Tanah di sini malam tadi.

Melaka mula memperkenalkan skim pemberian percuma akaun ASB bernilai RM10 seunit pada penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM5 juta selama tempoh lima tahun.

Kemudahan yang disediakan di bawah skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Gemilang Pendidikan (ASGP) khusus untuk golongan rakyat miskin.

Sehubungan itu beliau berkata, JKM perlu turun padang dan berkunjung ke rumah golongan terbabit bagi membantu rakyat miskin atau mereka yang berpendapatan rendah membuka akaun ASB dalam tempoh yang segera.

Selain itu kata Ketua Menteri, melalui usaha mewujudkan akaun pelaburan di kalangan rakyat miskin tersebut, ia diharap menggalakkan golongan itu menabung.

''Melaka sedang giat mencapai taraf negeri maju pada tahun 2010 dan untuk itu, saya mahu setiap lapisan masyarakat di negeri juga mampu meningkatkan pencapaian hidupnya termasuk golongan miskin ini," katanya.

Menurut Mohd. Ali, lebih 300,000 daripada kira-kira 800,000 penduduk negeri ini telah melabur melibatkan nilai pelaburan sebanyak lebih RM2 bilion.

Sementara itu, beliau turut mengesa JKM agar tidak melewatkan proses kelulusan yang dikemukakan oleh rakyat miskin dalam membuat permohonan bagi mendapatkan sebarang bentuk bantuan.

Ujarnya, proses kelulusan itu tidak sepatutnya mengambil masa sekiranya kakitangan agensi itu cekap dalam menjalankan tugas masing-masing terutama dalam meringankan beban kesusahan yang dialami oleh rakyat miskin. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya