Mawar peruntuk RM152,000 bantu golongan susah

Friday, September 11, 2009

JOHOR BAHRU 10 Sept. - Majlis Wanita Johor (Mawar) memperuntukkan sebanyak RM152,000 untuk diagih-agihkan kepada golongan kurang bernasib baik di seluruh negeri sehingga September ini.

Pengerusi Biro Kebajikan Mawar, Datin Safiah Aris berkata, golongan berkenaan termasuk keluarga miskin, ibu tunggal, anak yatim, hospital serta institusi kebajikan berkaitan.

Beliau yang juga isteri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, jumlah sumbangan paling besar diberikan pada tahun ini ialah sebanyak RM110,000 yang diagih-agihkan kepada Mawar di 11 daerah termasuk Pasir Gudang.

"Wang tersebut kita berikan kepada Mawar daerah bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti kebajikan di daerah masing-masing.

"Ia kemudian diikuti dengan sumbangan sebanyak RM20,000 yang diagihkan kepada 56 keluarga miskin di enam mukim di daerah ini yang telah disampaikan baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri bernilai RM18,200 kepada pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di Pejabat Mawar di sini hari ini.

Menerusi sumbangan itu seramai 71 pesakit di HSA dan 62 di HSI menerima sumbangan wang tunai RM150 bagi dewasa dan RM100 untuk kanak-kanak.

Sumbangan itu disampaikan oleh Safiah kepada Pengarah HSA, Dr. Daud Abdul Rahman dan Pengarah HSI, Dr. Rooshaimi Merican Abdul Rahman.

"Kami mengharapkan dengan sumbangan itu ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka bagi membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri minggu depan," katanya.

Selain itu, Mawar turut menyumbangkan pelbagai kelengkapan dan kemudahan di hospital-hospital kerajaan di negeri ini.

Safiah berkata, langkah yang dilakukan Mawar merupakan salah satu fungsi pertubuhannya bagi meringankan beban kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya