Masjid India tetap jadi pilihan

Friday, September 11, 2009


JALAN Masjid India umpama berpesta apabila umat Islam berpusu-pusu mencari barangan terutama pakaian untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN/MOHD. HATIM MAZLAN

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Kurang dua minggu dari sekarang, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Dan tentunya, hari-hari terakhir Ramadan ini merupakan hari yang sibuk untuk membuat persiapan menyambut hari lebaran itu.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kawasan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India akan menjadi tumpuan warga Lembah Klang kerana ia menyediakan pilihan yang luas dan pelbagai.

Maka tidak hairanlah jika kesesakan menuju ke kawasan itu mula dirasai sejak awal lagi.

Selain terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, kekurangan tempat letak kereta juga menjadi masalah kepada pengunjung.


Difahamkan, masalah tempat letak kereta mencapai tahap kronik berikutan peningkatan luar biasa jumlah orang ramai mengunjungi kawasan berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati tempat-tempat meletak kereta yang disediakan sama ada secara terbuka, dalam bangunan, tidak terkecuali petak letak kereta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah penuh.

Rata-rata laluan masuk ke tempat letak kereta dipasang papan tanda ‘Sudah penuh’.

Salah seorang penjaga tempat letak kereta berhampiran mengakui masalah tidak cukup tempat letak kereta adalah perkara biasa yang berlaku setiap kali menjelang musim perayaan.

Lelaki berketurunan India itu berkata, tempat letak kereta di situ mulai menjadi tumpuan seawal pukul 9 pagi berlarutan hingga 9 malam.

Pada hujung minggu pula, keadaan menjadi lebih parah apabila menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli-belah bagi mengambil kesempatan peniaga yang mula menurunkan harga barangan masing-masing.

Tambahnya, hasil kutipan bayaran tempat letak kereta juga meningkat lebih tiga kali ganda berbanding hari biasa.

Seorang pengunjung, Emas Zahira Nasir, 21, berkata, walaupun bayaran tempat letak kereta yang dikenakan agak tinggi daripada harga biasa, dia tidak peduli.

Katanya, apa yang penting dia tidak perlu berjalan kaki terlalu jauh untuk ke kawasan beli-belah itu kerana dia akan membawa banyak barang.

“Sebelum dapat meletakkan kereta di sini, sudah empat kali saya berpusing. Sememangnya ia memberi tekanan, namun saya anggap ia perkara biasa setiap kali menjelangnya hari raya,’’ ujarnya.

Bagi Azli Sobri, 24, pula itulah keadaan yang dihadapi setiap kali mengunjungi kawasan itu menjelang hari raya tetapi tegasnya, Jalan TAR dan Masjid India tetap yang terbaik dalam membuat persiapan hari raya.

Katanya, masalah tempat letak kereta di kawasan berkenaan memang kronik sehingga ada memilih untuk meletak kenderaan di stesen-stesen LRT dan menaiki pengangkutan awam itu untuk ke pusat bandar.

“Sesak memang perkara biasa di sini. Bagaimanapun saya tetap memilih destinasi ini sebagai pusat membeli-belah persiapan hari raya,’’ ujarnya.

Bagi Azfalina Azmi, 30, pula walaupun menyedari kesesakan serta masalah kekurangan tempat letak kereta setiap kali mengunjungi kawasan berkenaan dia tetap memilih untuk berkereta sendiri.

Katanya, ia lebih mudah memandangkan dia terpaksa membawa pelbagai barangan keperluan yang dibeli.

Berlainan dengan Rizduan Zainal, 35, yang lebih selesa menggunakan LRT untuk membeli-belah di kawasan berkenaan.

Dia yang tinggal di Gombak Setia meletakkan keretanya di stesen Terminal Gombak dan menaiki LRT ke pusat bandar.

“Walaupun agak sukar memandangkan terpaksa membawa barang kiri dan kanan tangan, saya rasa berbaloi daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya,’’ ujarnya. - Utusan


0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya