Mangsa kebakaran ditawar PPR

Saturday, September 12, 2009


Raja Nong Chik (bersongkok) menyatakan sesuatu kepada Chandra Dewi dan cucunya yang merupakan kanak-kanak istimewa, sambil diperhatikan oleh Tan Chai Ho (kanan) dan Ahmad Fuad Ismail (dua dari kanan) selepas menyerahkan wang bantuan dan hamper di Dewan Serbaguna Sri Selangor, Jalan San Peng, semalam.

SUNGAI BESI 11 Sept. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibah, di Puchong kepada 12 keluarga mangsa kebakaran di Sungai Besi yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian awal pagi semalam.

Selain itu, keluarga terbabit juga akan menerima wang sagu hati perpindahan sebanyak RM1,000.

Semua keluarga buat masa ini menetap sementara di Dewan Serbaguna Sri Selangor, di flat PPR Jalan San Peng.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dalam lawatan singkat ke dewan tersebut hari ini telah menyampaikan wang bantuan sebanyak RM300 dan hamper kepada setiap keluarga mangsa.

Turut hadir ialah Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail dan Ketua Bahagian MCA Bandar Tun Razak, Datuk Tan Chai Ho.

Ahmad Fuad, pada majlis berbuka puasa DBKL semalam pula berkata, sejumlah besar penghuni yang terlibat dalam kebakaran itu bukan warga Malaysia.

“Saya difahamkan antara 60 hingga 70 buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran tersebut.

“Tetapi setelah kaji selidik dijalankan hanya 17 keluarga sahaja yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan selebihnya warga asing.

“Oleh itu, hanya 17 buah keluarga ini sahaja yang akan mendapat bantuan tersebut,” katanya.

Dalam kebakaran tersebut, dua orang terbunuh iaitu seorang kanak-kanak dan seorang wanita.

Pada majlis berbuka puasa itu, Ahmad Fuad turut menyampaikan sumbangan hari raya berjumlah RM250 seorang kepada 187 orang anak yatim.

Selain daripada itu, 28 orang kurang upaya (OKU) yang berumur 17 tahun ke bawah juga mendapat sumbangan yang sama.

Kesemua mereka merupakan anak-anak kepada kakitangan DBKL. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya