MAIWP sedia RM8.4 juta bantu mualaf

Friday, September 11, 2009

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan bantuan zakat sebanyak RM8,363,543 untuk disalurkan kepada asnaf mualaf tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, jumlah tersebut merangkumi bantuan dalam bentuk keperluan asas manusia, keusahawanan dan pendidikan.

Beliau berkata, sumbangan juga membolehkan mereka menyusun pelbagai program yang dapat mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan sebagai saudara baru terhadap Islam.

"Selain golongan tersebut, MAIWP tetap tidak melupakan penerima-penerima bantuan zakat sedia ada terutamanya mereka yang memerlukan dan kurang bernasib baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis berbuka puasa bersama asnaf dan penyampaian bantuan Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anan C. Mohd.

Turut hadir, Pengurus Baitulmal MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail.

Jamil berkata, pada majlis itu, sebanyak RM1,902,500 diperuntukkan kepada asnaf fakir dan miskin serta saudara baru.

Ujarnya, penuntut Institut Profesional Baitulmal dan Institut Kemahiran Baitulmal, anak-anak yatim daripada rumah Darul Kifayah dan penghuni asrama Dar Assaadah turut menerima sumbangan tersebut.

"Sebanyak RM172,500 daripada peruntukan tersebut diberikan kepada saudara baru," jelasnya.

Beliau berharap, sumbangan itu dapat meringankan golongan kurang berkemampuan dalam menyambut Aidilfitri yang menjelang tiba dengan penuh keceriaan dan kegembiraan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya