MAIWP kutip zakat RM134 juta

Wednesday, September 9, 2009


Jamil Khir Baharom (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit sambil diperhatikan Dr. Nora'i Mohd. Said (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Anan C. Mohd. di Hospital Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 8 Sept. - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengutip zakat berjumlah kira-kira RM134 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, meningkat kira-kira 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, ia sejajar dengan peningkatan jumlah pembayar zakat sebanyak 19 peratus dalam tempoh yang sama iaitu 56,281 orang berbanding 47,158 orang tahun lalu.

"Walaupun tahun ini belum sampai ke penghujungnya tetapi trendnya dilihat ada ruang untuk terus meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Walaupun suasana ekonomi global agak merudum kini, tetapi saya rasa atas kesedaran itulah juga ramai orang Islam datang untuk menyumbang iaitu dalam bentuk zakat dan mereka mengharapkan keberkatan Allah," ujarnya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada pesakit di Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Putrajaya, Dr. Nora'i Mohd. Said.

Pada tahun ini, MAIWP menyumbang sebanyak RM130,840 kepada Hospital Putrajaya.

Jumlah itu diagih-agihkan kepada 358 pesakit dalam bentuk hamper dan duit raya yang berjumlah RM41,640, peralatan kesihatan (RM40,200) dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (RM50,000).

Jamil Khir yang juga Pengerusi MAIWP memberitahu, jumlah bantuan dan sumbangan yang diluluskan majlis itu sempena menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini adalah RM5.95 juta.

Beliau berkata, pengagihan sumbangan dibuat berdasarkan lima kategori.

Ia adalah bantuan Ihya Ramadan dan keceriaan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sebanyak RM2.6 juta serta agihan makanan berbuka puasa kepada golongan fakir, miskin dan daif di perkarangan Bangunan Daruzzakah sebanyak RM50,000.

Bantuan Ramadan kepada penerima di Labuan pula sebanyak RM179,200 manakala sumbangan kepada lima buah hospital berjumlah RM1.53 juta.

"Bantuan wang tunai sebanyak RM200 kepada 8,000 orang terdiri daripada mualaf, fakir, miskin, anak yatim, penuntut di Institut Profesional Baitulmal dan Institut Kemahiran Baitulmal pula berjumlah RM1.6 juta," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya