MAIWP jangka kutip fitrah RM6.5 juta

Tuesday, September 8, 2009

CHERAS 7 Sept. - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjangkakan dapat mengutip zakat fitrah sebanyak RM6.5 juta tahun ini berbanding RM5 juta tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Anan C. Mohd. memberitahu, peningkatan sebanyak RM1.5 juta itu berikutan usaha pihaknya menyedarkan golongan pekerja mengenai kepentingan untuk membayar zakat fitrah di negeri mereka bekerja.

"MAIWP berharap sesi penerangan dan kesedaran ini akan menyedarkan umat Islam yang bekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan supaya membayar zakat fitrah sebelum mereka pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung masing-masing,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menggantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada Tabung Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan pesakit-pesakit di PPUKM di sini baru-baru ini.

Sumbangan diserahkan kepada Pengarah PPUKM, Profesor Datuk Dr. Lokman Saim membabitkan wang tunai RM250,000 kepada Tabung PPUKM dan RM49,170 dalam bentuk peralatan kesihatan.

Turut diserahkan adalah sumbangan RM18,400 berbentuk hamper bernilai RM160 setiap satu kepada 115 pesakit dan duit raya berjumlah RM100 kepada 1,026 orang pesakit dengan jumlah keseluruhan RM102,600.

PPUKM adalah pusat perubatan kedua selepas Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menerima sumbangan hari raya dari MAIWP manakala bagi Hospital Putrajaya dan Hospital Universiti di Universiti Malaya (UM) akan dibuat minggu depan.

Anan memberitahu, pada tahun ini, MAIWP memperuntukkan RM2 juta sebagai sumbangan kepada pesakit dan pusat perubatan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau memberitahu, sehingga Julai tahun ini pihaknya telah berjaya memungut zakat pendapatan, harta, emas dan lain-lain sebanyak RM109 juta berbanding RM95 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Keadaan ini amat baik memandangkan negara masih lagi berhadapan dengan masalah ekonomi tetapi pungutan zakat terus meningkat,'' katanya.

Sementara itu, Dr. Lokman memberitahu, PPUKM menjadi pilihan doktor-doktor dari negara-negara Islam untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang kepakaran.

Katanya, sejak 10 tahun lepas, pusat perubatan yang mempunyai kemudahan terbaik di dunia itu telah melatih lebih 150 pelajar termasuk dari Iran, Iraq dan Libya dalam pelbagai bidang kepakaran. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya