MAIAMP sumbang RM112,000 sempena Aidilfitri

Friday, September 11, 2009


AB. Wahab Azizul Hassan (tengah) menyampaikan sagu hati kepada salah seorang AJK zakat dan fitrah masjid daerah Manjung sambil diperhatikan Ahmad Nazim di Lumut, kelmarin.

LUMUT 10 Sept. - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) memperuntukkan sebanyak RM112,600 bagi membantu 563 orang fakir miskin di daerah Manjung sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Muda Orang Kaya-kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja, Ab. Wahab Azizul Hassan berkata, semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Zakat dan Fitrah Masjid di daerah itu turut mendapat saguhati yang keseluruhannya bernilai RM46,000.

Beliau berkata, sumbangan kepada AJK itu adalah sebagai tanda penghargaan MAIAMP kepada mereka yang membantu menjalankan kutipan zakat fitrah.

''Pada hari ini sahaja, semua 46 buah masjid di daerah ini masing-masing menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM46,000 atau RM1,000 bagi setiap masjid.

''Kita juga menyerahkan bantuan sebanyak RM5,000 lagi kepada 25 orang fakir dan miskin iaitu enam orang dari kariah Masjid Al-Adly, Lumut dan 19 orang dari kariah Masjid Sultan Idris Shah II, Teluk Muroh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan Aidilfitri serta saguhati AJK zakat dan fitrah masjid-masjid daerah Manjung anjuran MAIAMP Daerah Manjung di sini semalam.

Hadir sama Pegawai Baitulmal Daerah Manjung, Ahmad Nazim Md. Tajuri; Toh Tan Dewa Paduka Zainon Kamar Zainal Abidin dan Toh Sakna Menteri, Mohamed Zakaria Chu Osman.

Ab. Wahab berkata, sumbangan yang diberikan itu merupakan usaha berterusan MAIAMP untuk membantu golongan asnaf supaya mereka dapat sama-sama meraikan Ramadan dan Aidilfitri.

Jelasnya, perhatian perlu diberikan kepada golongan asnaf dengan membantu mereka sehingga mereka mampu berdikari tanpa memerlukan bantuan pihak lain.

Menurutnya, semua penerima bantuan juga diharapkan dapat menggunakan wang yang diberikan sebaik mungkin.

''Saya berharap semua AJK zakat dan fitrah dapat menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dengan memastikan golongan yang layak menerima bantuan yang sewajarnya.

''Selain itu, semua pengerusi dan AJK masjid diharap dapat menjaga kemuliaan rumah Allah itu dengan sebaik mungkin supaya tidak disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya