Lebih 78,000 peneroka Felcra terima dividen

Friday, September 4, 2009


MOHD. Shafie Apdal (tengah) menyampaikan replika cek kepada salah seorang wakil peneroka Felcra di Sik, Kedah semalam.

SIK 3 Sept. – Seramai 78,019 peserta Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (Felcra) di seluruh negara akan menerima bayaran dividen yang berjumlah RM445.99 juta sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, agihan dividen tersebut lebih rendah iaitu kira-kira 28 peratus berbanding RM588.18 juta pada 2008.

“Walaupun ekonomi lembap terutama sektor komoditi sawit dan getah yang tidak stabil, Felcra Berhad dapat mengimbangi cabaran itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dividen Peserta Felcra Berhad Peringkat Negeri Kedah 2009 dan berbuka puasa bersama peneroka di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik di sini malam ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mohd. Nasir Baba dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Hanipah.

Mohd. Shafie yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah memberitahu, kerajaan sentiasa berusaha membantu meningkatkan ekonomi rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Sejak penubuhannya kata beliau, Felcra berjaya mengeluarkan masyarakat luar bandar di negara ini daripada belenggu kemiskinan.

“Kita yakin Felcra akan meneruskan usaha secara berterusan untuk menjana ekonomi negara dan membangunkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” tambah beliau.

Sementara itu katanya, seramai 3,327 peneroka Felcra di negeri Kedah mendapat dividen sebanyak RM10.5 juta pada tahun ini.

Katanya, semua peserta terbabit menerima purata dividen RM3,327 seorang dengan kawasan Baling menerima dividen terbesar iaitu RM3.5 juta.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pengerusi agensi-agensi perladangan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu Felda, RISDA dan Felcra diarah menjalankan kajian mendalam berhubung bidang kerjasama yang boleh dilaksanakan.

“Antaranya mewujudkan kaedah atau persetujuan bersama seperti soal pembekalan baja. Insya-Allah kerjasama sebegini akan diadakan secepat mungkin setelah mendapat maklum balas daripada agensi masing-masing,” katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya