Lagi usaha perlu jana pesat ekonomi

Wednesday, September 2, 2009

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pelbagai lagi inisiatif perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan ekonomi negara tumbuh dengan lebih cepat dan pesat.

Penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah berkata, negara kini dalam proses fasa pemulihan tetapi pertumbuhannya tidak memberangsangkan.

"Negara kita sedang mengalami proses pergerakan ekonomi yang positif tetapi kita masih belum benar-benar keluar daripada kemelut tersebut. Kita masih bergantung kepada negara-negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

"Selagi kita bergantung kepada mereka sahaja, selagi itu ekonomi kita juga akan tumbuh perlahan. Ini kerana ekonomi dunia masih bermasalah, jadi kita tetap akan menerima tempias," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau yang juga pensyarah ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa ekonomi negara kini memasuki fasa pemulihan.

Najib berkata, tindakan kerajaan memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah puluhan bilion ringgit terbukti sebagai satu langkah yang tepat dalam membantu memulihkan prestasi ekonomi negara.

Jelas Haim Hilman, bagi memastikan ekonomi negara pulih, sudah tiba masanya kerajaan menjalinkan hubungan perdagangan dengan kuasa ekonomi baru seperti Amerika Selatan dan Eropah Timur.

"Kita jangan terlalu bergantung harap pada negara-negara besar seperti AS dan Jepun. Apa kata kita beralih arah ke negara-negara lain seperti Brazil, China dan India.

"Negara-negara ini sedang meningkat naik dan sekiranya kita menjalinkan kerjasama ekonomi bersama mereka pastinya pertumbuhan ekonomi kita juga akan sama dengan mereka," katanya.

Mengulas isu yang sama, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya dan kerajaan perlu mengubah beberapa dasar bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terjamin.

"Sekarang memang kita lihat ekonomi berkembang perlahan namun ia tetap meningkat. Tetapi kita tidak tahu fasa pemulihan ini akan bertahan atau tidak.

"Jadi kerajaan perlu menukar lagi dasar-dasar sedia ada untuk membantu ekonomi dan rakyat," katanya.

Malah, katanya, kerajaan patut menarik lebih ramai pelabur asing masuk ke dalam negara bagi memastikan ekonomi negara berkembang pesat.

Pensyarah Pengurusan, Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Sarminah Samad berkata, ekonomi negara berpotensi untuk meningkat naik tetapi masih memerlukan masa dan pemantauan yang sempurna daripada kerajaan.

"Masih terlalu awal untuk melihat ekonomi kita berkembang atau tidak. Tetapi kerajaan perlu mewujudkan satu pelan bagi memastikan segala pakej rangsangan yang diperkenalkan itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya