Kraf tempatan bakal ke China

Saturday, September 5, 2009

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Produk kraf tangan tempatan bakal diangkat ke peringkat lebih tinggi dan dibawa ke negara-negara asing terutamanya di Asia sebagai salah satu daripada promosi Malaysia kepada dunia luar.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sasaran kementeriannya ketika ini adalah untuk memasuki pasaran China berkemungkinan pada pertengahan tahun hadapan.

Selain China katanya, pihaknya turut berminat untuk membawa kraf tangan tempatan ke Jepun dan Korea tetapi ia bergantung pada sumber kewangan dan penajaan yang diterima kementerian.

“Saya terfikir, jika kita mampu membawa barangan ini ke London dan Paris, mengapa tidak kita bawanya ke China kerana mereka mempunyai populasi yang tinggi.

“Setakat ini, kementerian sedang meneliti apa yang diperlukan untuk membawa hasil kraf tempatan ke sana. Saya pasti ia akan membantu merancakkan lagi kedatangan pelancong China yang sedia ramai di negara ini saban tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Promosi Kraf Aidilfitri 2009 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali.

Promosi yang diadakan buat kali kelima sejak 2003 itu bermula hari ini dan berakhir pada 14 September depan.

Ia dimeriahkan dengan aktiviti jualan produk kraf serta kelengkapan Aidilfitri seperti pakaian, kuih raya dan aksesori wanita.

Mengenai promosi itu, Rais memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Kraftangan Malaysia berazam untuk meningkatkan jumlah jualan daripada RM1.1 juta tahun lalu kepada RM1.5 juta tahun ini.

“Segalanya ada di sini, daripada pakaian sehinggalah penjualan kraf oleh saudara-saudara baru. Justeru, saya mengharapkan agar masyarakat kita mengambil kesempatan untuk berbelanja di sini,” ujarnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya