KPI bukti komitmen berani kerajaan - Muhyiddin

Saturday, September 5, 2009

IPOH 4 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pelaksanaan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) merupakan langkah berani dan berisiko bagi membuktikan komitmen tinggi kerajaan membangunkan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia merupakan usaha terbuka tanpa 'sorok-sorok' supaya rakyat boleh menghukum kerajaan sekiranya matlamat yang ditetapkan tidak mencapai sasaran.

''Kita tidak mahu masyarakat mengatakan bahawa kerajaan hanya 'cakap tidak serupa bikin' sebab itu KPI diperkenalkan bagi semua menteri Kabinet.

''Kerajaan bukan sahaja perlu melaksanakan segala perancangan dan pembangunan negara tetapi perlu membuktikan bahawa semuanya mesti berjaya," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya bagi Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Muhyiddin berkata, keberanian dan keikhlasan kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat sepatutnya diterima dengan hati terbuka dan disokong penuh oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya, pada masa sama tidak ada sebab mengapa ada pihak perlu membuat fitnah dan pelbagai tohmahan ke atas segala perkara baik dan berfaedah yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) selama 52 tahun memerintah negara.

''Orang hari ini tidak melihat segala kebaikan yang kerajaan buat malah mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang. Takkan selama 52 tahun kita melaksanakan kerja-kerja yang merugikan negara?

''KPI ini kita laksanakan secara terbuka dan bukan gimik politik seperti yang suka dilakukan pakatan pembangkang di Perak. Ini perkara serius demi membangunkan ekonomi dan memajukan negara," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin pada majlis berkenaan turut memberi khabar gembira buat penduduk kampung tersebut apabila mengumumkan bantuan sebanyak RM2.5 juta bagi membina sebuah masjid baru.

''Kerajaan negeri Perak sudah bersetuju membeli tanah seluas 3.4 hektar bernilai RM2 juta untuk membeli tapak masjid dan Kerajaan Persekutuan pula tambah RM2.5 juta bagi membina masjid.

''Saya rasa elok juga masyarakat di sini turut membuat kutipan dana sendiri supaya sama-sama dapat manfaat dan akhirnya masjid baru dapat dibina di sini," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh penduduk kampung. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya