Korporat diseru laksanakan tanggungjawab sosial

Monday, September 14, 2009

KUCHING 13 Sept. - Golongan korporat di negeri ini diminta supaya melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dengan menyumbang dana kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia bahagian negeri Sarawak.

Pengerusinya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sumbangan daripada setiap syarikat itu amat penting dalam usaha persatuan untuk menjaga kebajikan bekas anggota polis yang telah berkorban bagi keselamatan negara selama ini.

Menurutnya, kesemua bekas anggota polis ini telah bertungkus lumus dalam usaha mereka melindungi negeri ini daripada cengkaman pengganas komunis sehingga ada daripada mereka cacat anggota badan.

''Justeru, ingin saya menyeru kepada pihak yang berkemampuan ini supaya tampil memberi bantuan kepada persatuan kita supaya kita boleh membantu kebajikan bekas anggota kita," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian sumbangan bantuan kebajikan kepada balu dan orang kurang upaya yang dianjurkan Persatuan Bekas Polis Malaysia bahagian negeri Sarawak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi memberitahu, setiap anggota polis di negeri ini yang telah dan hampir mencapai usia persaraan diminta untuk mendaftar dengan Persatuan Bekas Polis Malaysia bahagian negeri Sarawak.

Menurutnya, penglibatan mereka amat penting dalam menggerakkan setiap aktiviti persatuan serta kebajikan mereka selepas bersara mendapat pembelaan sewajarnya.

''Kita tidak mahu mereka ini hanya pandai mengkritik setiap usaha persatuan dan sebaliknya tidak pandai berjuang untuk menegakkan nasib pesara ini," katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, beliau berharap setiap pesara polis dapat mendaftar nama mereka dengan pihak persatuan kerana hanya Persatuan Bekas Polis Malaysia bahagian negeri Sarawak yang mendapat pengiktirafan kerajaan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya