Korporat bantu golongan susah

Monday, September 14, 2009

MARAN 13 Sept. - Keprihatinan syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan kaya turun padang membantu masyarakat miskin, daif serta anak yatim patut dipuji, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin (gambar).

Katanya, perkembangan itu semakin ketara setiap kali Hari Raya Aidilfitri kerana mereka dilihat bersaing untuk melaksanakan tanggungjawab sosial membantu golongan memerlukan dan perkembangan itu patut dipuji.

Jelasnya, mereka sanggup turun padang untuk menyumbangkan wang dan barangan keperluan bagi membantu golongan yang memerlukan termasuk anak yatim membuat persiapan menyambut hari raya.

''Ini membuktikan pihak swasta atau golongan berpendapatan tinggi tidak pernah melupakan saudara-mara mereka yang miskin dan daif di mana-mana sahaja di seluruh negara,'' katanya.

Shahaniza menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia pada majlis program Titian Kasih sumbangan duit raya kepada 50 orang anak yatim peringkat DUN Kuala Sentol anjuran pelbagai badan korporat di Masjid Jamek Felda Jengka 3 di sini, hari ini.

Shahaniza bagaimanapun berkata, amalan tersebut perlu dilakukan secara konsisten dan tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadan semata-mata.

Ini kerana, katanya, masih ramai golongan terutama warga emas, anak yatim dan pesakit kronik yang memerlukan perhatian serta bantuan daripada badan-badan korporat dan NGO yang ada di negara ini.

Pada masa sama, katanya, peranan yang bakal mereka mainkan akan turut membantu kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan terbabit.

'' Walaupun kerajaan melalui agensinya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi perhatian dan bantuan kewangan tetapi peranan korporat tetap diperlukan juga,'' ujarnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya