Kejiranan Lestari dilanjutkan

Friday, September 11, 2009


Muhyiddin Yassin melancarkan logo Kempen Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan 2009 sambil diperhatikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadilah Ahmad (kanan) di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam.

PUTRJAYA 10 Sept. – Program kejiranan lestari yang dikenal pasti telah memberi impak berkesan terhadap pembangunan sosial di kawasan berisiko tinggi akan dilanjutkan ke fasa kedua sebelum dilaksanakan di seluruh negara.

Fasa tersebut memberi tumpuan kepada lima teras mencakupi pembangunan infrastruktur fizikal, pembangunan insan, kesejahteraan sosial, membasmi kemiskinan dan membasmi jenayah serta penyalahgunaan dadah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fasa kedua program kejiranan lestari itu menelan belanja RM4.3 juta.

“Laporan yang diterima hari ini menunjukkan perkembangan sangat baik di semua kawasan yang melaksanakan projek perintis Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tahun lepas.

“Contohnya di Johor Bahru, ada beberapa buah kampung dijadikan kawasan tumpuan dan hari ini kita dapat laporan mengenai usaha-usaha yang dilakukan di sana sejak tahun lepas dan kesannya amat baik sekali.

“Jadi kita telah setuju supaya projek ini diteruskan kepada fasa kedua sebelum kita guna pakai untuk seluruh negara terutama di kawasan yang kita kenal pasti kawasan berisiko di Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara kali pertama tahun ini di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Projek Program Kejiranan Lestari fasa pertama dilaksanakan di lima buah kampung di Johor Bahru iaitu Kampung Skudai Kiri, Taman Tampoi Indah, Kampung Datuk Sulaiman Menteri (Majidee), Kampung Pandan dan Taman Puteri Wangsa (Ulu Tiram).

Muhyiddin memberitahu, fasa pertama projek itu melibatkan kos sebanyak RM5.6 juta.

Sehubungan itu, beliau menambah, pihaknya akan mencari jalan yang mungkin ada perkara-perkara yang boleh mengurangkan kos tetapi dapat meningkatkan lagi keberkesanannya.

“Walaupun ia berkesan tetapi kosnya kepada kerajaan juga besar dan kita akan cari cara lain untuk menambah keberkesanan dan kita lihat dalam setahun dua ini.

“Dalam masa yang sama, kita akan meminta pemimpin dan masyarakat setempat supaya berperanan bersama-sama,” katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya