Kebajikan rakyat diutamakan

Saturday, September 5, 2009

SEREMBAN 4 Sept. - Sumbangan yang diberikan kepada golongan fakir miskin dan kurang bernasib baik bertujuan menceriakan kehidupan mereka terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, amat perlu golongan ini diberi perhatian supaya dapat sama-sama bergembira dan berseronok seperti orang lain sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

'Kita mahu melihat rakyat mendapat kebahagiaan, keceriaan dan kesejahteraan. Sebab itulah, melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Tabung Haji serta kerajaan, kita mengutamakan kebajikan mereka.

''Kita harapkan ini dapat meringankan sedikit beban mereka dalam bulan yang mulia ini selain bersama-sama keluarga mereka berkumpul berbuka puasa dan bersahur dalam suasana yang harmoni," kata beliau.

Mohamad yang juga Pengerusi MAINS menjelaskan, wang yang disumbangkan itu dapat diguna pakai secara berjimat dan mengutamakan keperluan yang penting seperti membeli barangan dapur dan sebagainya.

''Kerajaan tidak mahu melihat ada lagi golongan yang susah ini tercicir daripada menerima bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

''Melalui Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS), kita telah pun mengenal pasti individu yang susah ini untuk diberi bantuan dan bagi umat Islam, kita salurkan melalui bantuan Baitulmal," kata Mohamad.

Justeru itu, beliau menjelaskan kerajaan negeri mensasarkan supaya menjelang tahun 2010 tiada lagi golongan miskin tegar di negeri ini.

''Kita mahu semua agensi terbabit berperanan sama-sama mencari dan mengenal pasti golongan miskin di kawasan mereka supaya bantuan dapat disalurkan dan taraf kehidupan mereka dapat dipertingkatkan.

''Hari ini, kita tidak boleh lagi menunggu mereka datang untuk mencari bantuan daripada kerajaan, sebaliknya agensi kerajaan termasuk MAINS perlu mencari golongan ini untuk 'dijaring', selain terus mengaktifkan program 'cari' oleh JKM. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya