KDN perkenal pasport alternatif mampu milik

Sunday, September 13, 2009

BUKIT KAYU HITAM 12 Sept. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Alternatif dengan kos lebih rendah yang mampu dimiliki.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, PMA Alternatif mampu milik hanya berharga RM100 untuk 32 muka surat bagi tempoh sah laku dua tahun.

Katanya, jabatan Imigresen akan mengeluarkan PMA Alternatif bermula 1 Oktober depan dan menjadi pilihan tambahan kepada kategori pasport sedia ada.

"Keputusan ini adalah lanjutan kepada keistimewaan PMA Alternatif yang ditawarkan kepada jemaah haji untuk memenuhi peraturan baru Kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan semua jemaah menggunakan pasport antarabangsa," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja serta berbuka puasa di Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, KDN mendapat banyak maklum balas bahawa kadar pasport sedia ada agak mahal sedangkan mereka hanya mahu menggunakannya untuk satu tujuan khusus sahaja atau kadar penggunaan yang tidak kerap.

Katanya, sehingga kini terdapat dua pilihan kategori pasport dalam aspek kos pemilikan iaitu RM300 untuk 32 muka surat dan RM600 64 muka surat yang kedua-duanya untuk tempoh sah laku lima tahun.

"Terdapat banyak kes warganegara hanya memerlukan pasport untuk sekali kegunaan seperti ibu bapa yang ingin menghantar anak melanjutkan pelajaran ke luar negara, mengerjakan umrah dan lawatan sambil belajar.

"Kewujudan konsep penerbangan tambang murah dan pakej pelancongan murah juga telah membolehkan ramai warganegara memilih untuk bercuti ke luar negara dan kos RM300 untuk memiliki PMA akan membebankan mereka," katanya.

Inisiatif tersebut katanya, merupakan sebahagian daripada strategi dan pendekatan KDN dalam melaksanakan Konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Biarpun pengenalan PMA Alternatif pastinya membawa implikasi pertambahan beban kerja para pegawai dan kakitangan jabatan Imigresen dalam memproses pengeluaran dan pembaharuan PMA, kita yakin ia akan dapat diatasi," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya