Kanak-kanak pintar aset berharga - Rosmah

Tuesday, September 8, 2009


Rosmah Mansor mendengar penerangan daripada kakitangan UKM, Mohd. Kamil Bardai (kanan) sambil diperhatikan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (duduk, kanan) selepas sidang akhbar berhubung laporan kemajuan Projek Permata Pintar di Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pembangunan modal insan negara akan ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura sekiranya aset berharga iaitu kanak-kanak yang mempunyai kebolehan luar biasa tidak dijaga dan dilatih dari peringkat awal.

Isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Permata Pintar, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kebolehan kanak-kanak itu akan terbiar dan tidak boleh digunakan untuk kebaikan dirinya dan negara sekiranya program pembangunan untuk mereka tidak dimulakan dari sekarang.

''Kalau kita tak mulakan sekarang, saya khuatir kanak-kanak pintar ini akan pergi ke negara-negara lain untuk mendapatkan program-program yang disediakan oleh negara-negara tersebut.

''Amat merugikan jika mereka ini tidak diberikan peluang untuk mengembangkan kebolehan dan keistimewaan masing-masing,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan laporan kemajuan Projek Permata Pintar yang telah dan sedang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Rosmah berkata, ramai rakyat negara ini yang dikesan mempunyai kebolehan luar biasa terutama dalam akademik mendapat tawaran melanjutkan pelajaran atau menghadiri kursus-kursus di luar negara memandangkan tiada peluang yang sesuai untuk mereka di negara ini.

''Ada antara mereka yang saya jumpa mendapat peluang itu, tetapi saya tidak boleh halang kerana ia adalah masa depan mereka. Jadi rasa amat rugi kerana kita tidak boleh melatih sendiri mereka ini.

''Malah sekarang pun sudah ramai pergi ke negara jiran, diberi biasiswa dan kerakyatan untuk belajar dan bekerja di sana dan ini merupakan kerugian buat negara,'' katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya