Jual biskut tambah pendapatan

Sunday, September 6, 2009


GELAGAT peniaga biskut raya menawarkan jualan kepada pengunjung di bazar Ramadan Plaza Angsana, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 5 Sept. - Setiap kali Ramadan, Mohd. Suffian Ismadi tidak pernah lupa untuk meraih pendapatan dengan berniaga menjual biskut raya.

Tahun ini, bersama dua rakan, dia memilih untuk berniaga di tapak gerai Ramadan di Plaza Angsana di gerai ER Dinie Enterprise.

Anak muda berusia 21 tahun itu berkata, pada tahun lalu dia berniaga biskut raya di Subang Jaya dan kali ini ingin mencuba nasib di sini pula.

"Setiap tahun saya akan tukar-tukar lokasi. Apabila dengar cerita daripada rakan-rakan lain yang mereka boleh mengaut keuntungan di sini, saya pun cuba.

"Setakat ini, bagi saya perniagaan perlahan sedikit sebab kebanyakan yang datang hanya melihat sahaja daripada membeli. Mungkin baru lagi," katanya ketika ditemui di tapak gerai Ramadan di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Mohd. Suffian gembira berniaga di tapak Ramadan itu kerana harga yang ditawarkan kepada pelanggan tidak tetap dan boleh diturunkan.

Katanya, harga tapak yang dikenakan kepada peniaga tidak mahal seperti di Kuala Lumpur dan sebab itulah harga yang ditawarkan boleh dikurangkan.

"Kalau di Kuala Lumpur, harga mati tidak boleh turun. Di sini kita beli borong daripada pembuat dan terpulang nak letak dan turun hingga berapa," katanya.

Sementara itu, Zulkifli Mohd. Hafan, 30, juga telah berniaga di tapak Ramadan berkenaan sejak 2003.

Zulkifli yang menjual pelbagai jenis kerepek dan biskut di dua tapak gerai itu berkata, setiap tahun dia tidak pernah mengalami kerugian.

"Bagi yang baru berniaga, kalau dapat kumpul balik modal kiranya berjaya dan tahun berikutnya mesti kumpul lebih lagi.

"Kalau rugi mana mungkin saya berniaga di sini setiap tahun. Selalunya pengunjung ramai pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad kerana orang Singapura datang," katanya.

Dia yang mendapat bekalan lebih 50 jenis kerepek dan makanan kering di sekitar Pontian dan Parit Raja, Batu Pahat itu berkata, gerainya sering jadi tumpuan mereka yang gemar membeli kerepek secara pukal.

Sebagai pembekal kerepek menerusi Kijul Food Supplies, Zulkifli sering menyertai pelbagai ekspo bagi mempromosikan produknya.

"Kalau bukan Ramadan, saya sering sertai ekspo kerana dari situ juga boleh meraih keuntungan asalkan ada usaha," katanya yang turut dibantu oleh tiga pekerja. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya