Hanya ilmu bawa kejayaan

Wednesday, September 2, 2009

KUCHING 1 Sept. - Mengubah minda sesebuah masyarakat untuk menerima perubahan serta memperoleh kejayaan hanya boleh dilakukan jika setiap daripada mereka berilmu, kata Presiden Petipun Penan Sarawak, Datuk Hasan Sui, 61.

Beliau berkata, kaum Penan yang dahulunya tinggal di kawasan pedalaman dan hutan kini berani mengubah kehidupan masing-masing dengan memastikan anak-anak mereka memperoleh ilmu pengetahuan.

Menurutnya, ia merupakan satu petanda yang baik apabila semakin ramai generasi muda kaum Penan hari ini mula melangkah masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang.

''Memang tidak dinafikan ia agak mengambil masa untuk mengubah kesemuanya tetapi saya yakin kejayaan mampu dicapai pada masa akan datang terutamanya masyarakat Penan di Baram," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sui berkata, dahulu dia menjalani kehidupan lama dengan berkeliaran serta merayau-rayau di dalam hutan tetapi beliau mula berubah apabila mula hidup menetap di satu tempat.

Katanya, beliau mulai belajar serta berusaha meningkatkan taraf hidupnya dan berkat usaha dia untuk berubah, anak-anaknya juga telah dapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Tambahnya, jika tinggal di dalam hutan, seseorang itu tidak boleh melihat pembangunan dan kemajuan yang terdapat di bandar, maka masyarakat ini (Penan) perlu mengubah minda mereka dengan menetap hanya di sesebuah kawasan saja.

''Hari ini saya melahirkan rasa bangga apabila sembilan pelajar daripada kaum Penan telah memasuki Kolej Segi dan saya berharap mereka belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh kejayaan yang membanggakan keluarga masing-masing.

''Nasihat saya adalah kamu (pelajar) dari hutan dan datang ke bandar, maka banyak cabaran akan ditempuh dan jangan sesekali terpengaruh dengan sesiapa yang cuba memberi janji-janji manis untuk melekakan kamu daripada pelajaran," ujarnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya