Gigih Berusaha Pasti Berjaya : Rezeki Mat Nor bertambah

Saturday, September 5, 2009

PASIR PUTEH 4 Sept. - Mat Nor Ismail, 63, yang menyara 11 anaknya dengan menjual air nira bersyukur kerana rezekinya lebih murah pada bulan Ramadan sehingga mampu memperoleh kira-kira RM3,000 sebulan.

Petani itu berkata, pada bulan puasa ini, pemborong datang membeli air nira di kebun kelapanya di Kampung Nara di sini dengan harga RM30 bagi lapan liter.

"Saya sudah 30 tahun berpengalaman menyandat mayang kelapa dan ini satu-satunya punca rezeki saya untuk menyara 11 orang anak, empat daripadanya masih bersekolah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Air nira begitu popular di kalangan penduduk Kelantan untuk dijadikan juadah berbuka puasa kerana selain lazat ia juga berkhasiat untuk memulihkan tenaga selepas sehari suntuk berlapar dan dahaga.

Mat Nor berkata, jika keadaan cuaca baik (sejuk) beliau mampu memperoleh antara 24 hingga 32 liter air nira sehari.

Bagi memastikan mutunya terjamin dan tidak cepat masam sehingga dapat bertahan lapan jam, katanya, beliau mencampurkannya dengan sedikit 'laghu' yang dihasilkan daripada kayu cengal.

Mat Nor memanjat lebih 30 pokok kelapa muda setiap hari bagi mendapatkan air nira itu, namun ia tidak meletihkannya kerana sudah biasa walaupun sedang menjalani ibadah puasa. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya