Gedung karpet terbesar Melaka

Thursday, September 17, 2009

MELAKA 16 Sept. - Melaka bakal mempunyai sebuah gedung permaidani terbesar tidak lama lagi sekali gus menjadikannya produk pelancongan terbaru di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, gedung tersebut akan dibina sebuah syarikat permaidani terbesar negara, Premier Weavers Sdn. Bhd. dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, gedung berkeluasan 3,716 meter persegi itu akan menawarkan pelbagai jenis permaidani bermutu tinggi hasil buatan tempatan.

"Ia akan menjadi produk pelancongan terbaru di Melaka lebih-lebih lagi ia menawarkan pelbagai jenis permaidani buatan tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Matahari Carpets di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini baru-baru ini.

Kota Fesyen yang dibina dengan kos RM52 juta mula dibina pada Ogos 2007 sebelum mula beroperasi 26 Januari lalu.

Ia mengandungi 173 unit kedai dua tingkat di kawasan berkeluasan 4.16 hektar dan menjadi mercu tanda perdagangan baru di negeri ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26 lot rumah kedai di situ akan menjual barangan daripada Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Mohd. Ali pada masa sama berharap, pembukaan Matahari Carpets akan membantu merancakkan lagi perniagaan di Kota Fesyen sekali gus menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke negeri ini.

"Saya harap, perniagaan di negeri ini terus berkembang pesat selaras hasrat kita untuk mengembalikan zaman kegemilangan Melaka.

"Rakyat di negeri ini pula perlu mengambil peluang yang ada untuk berniaga di sini bagi menambah pendapatan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Ali berharap, baki kira-kira 100 lot perniagaan yang masih kosong di Kota Fesyen dapat dipenuhi oleh para peniaga menjelang hujung tahun ini. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya