Felcra agih dividen RM21.32j

Wednesday, September 9, 2009

KOTA KINABALU 8 Sept. - Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Sabah mengagihkan dividen kepada seramai 1,700 pesertanya dengan nilai agihan keseluruhan berjumlah RM21.32 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, dividen itu diperoleh hasil lebihan pendapatan perladangan getah dan kelapa sawit yang dimajukan oleh Felcra di negeri ini bagi tahun ini.

''Perkongsian pintar antara penduduk luar bandar dan Felcra bukan bertujuan merampas tanah penduduk kampung seperti tanggapan sesetengah pihak.

''Buktinya apabila hari ini para peserta Felcra di Sabah mendapat habuan masing-masing. Dalam hal ini, mereka juga perlu melihat contoh kejayaan agropolitan di Pulau Banggi, Kudat yang diusahakan oleh Felcra," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Dividen Peserta Felcra Berhad Wilayah Sabah Tahun 2009 di Kompleks Tabung Haji di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Kesemua peserta Felcra Sabah menerima purata dividen berjumlah RM3,776 dengan Sandakan merupakan kawasan terbesar menerima dividen terbesar iaitu RM4.9 juta.

Felcra Sabah juga telah berjaya memajukan tanah seluas 9,792 hektar melibatkan 2,200 hektar bagi penanaman getah dan 7,592 hektar tanaman kelapa sawit.

Dalam pada itu, Musa menyeru mana-mana peserta koperasi yang mempunyai tanah dan belum diusahakan agar jangan membuang masa.

''Segeralah bertemu pihak Felcra untuk mengusahakan tanah-tanah itu daripada terbiar begitu sahaja. Bagi pihak kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada penduduk yang mahu mengerjakan kawasan tanah mereka dengan tanaman getah dan kelapa sawit," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya