Fahami al-Quran mampu lahirkan bangsa disegani

Tuesday, September 8, 2009

PUTRAJAYA 7 Sept. - Pemahaman yang jelas mengenai inti pati al-Quran amat penting dalam usaha kerajaan membina sebuah negara bangsa yang utuh dan disegani melalui gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan pemahaman yang betul ia dapat memacu peradaban dan memartabatkan tamadun bangsa, seterusnya membersihkan persepsi negatif barat terhadap Islam.

''Al-Quran diturunkan di antaranya bertujuan untuk memperbaiki keadaan manusia dan juga sebagai petunjuk ke jalan lurus yang diredai-Nya.

''Melalui pemahaman yang betul, al-Quran mampu memperkasa sesebuah bangsa dan negara.

''Allah Taala telah berfirman dalam Surah Sad, ayat 29 yang bermaksud: '(Al-Quran) ini sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan e-Qalam dan Portal Pemasarannya di Dewan Bankuet, Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

e-Qalam merupakan pen digital yang boleh membaca al-Quran berkod yang dialunkan oleh qari terkenal bertujuan membantu umat Islam membaca kitab suci itu dengan betul.

Dihasilkan oleh syarikat Iqra Pintar Sdn. Bhd. dan Dawama, produk tersebut dilengkapi dua kaedah bacaan, At-Tadwir (biasa) dan At-Tartil (perlahan) yang boleh diperoleh dalam terjemahan bahasa Malaysia, Inggeris, Indonesia dan Mandarin.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri menarik perhatian bahawa dalam persekitaran ekonomi global yang masih dalam proses pemulihan ini, seharusnya tidak menjadi penghalang daya kreativiti dan inovasi seseorang dalam menghasilkan sesuatu yang tidak berasaskan keuntungan semata-mata.

Malah, kata beliau, yang lebih utama adalah supaya dapat membantu masyarakat memahami ajaran agama seterusnya membentuk mereka berjati diri dan mampu berdaya saing.

''Saya yakin dan percaya kelahiran e-qalam ini bukan untuk menggantikan sistem pembelajaran dan pemahaman al-Quran sedia ada, jauh sekali menggantikan para ustaz dalam pengajarannya.

''Tetapi saya melihat e-Qalam ini dapat membantu dan menggalakkan orang ramai membaca dan memahami apa yang dibacanya menerusi terjemahan yang disediakan, seterusnya menjadi pelengkap terhadap sistem pengajaran al-Quran itu sendiri," katanya.

Kata beliau: ''Dengan kata lain, e-Qalam merupakan satu inovasi baru dalam teknologi pendidikan dan ia mempunyai potensi untuk dikembangkan penggunaannya ke bahan bacaan lain."

e-Qalam kini dijual di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Brunei, China, Taiwan dan United Kingdom. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya